Ahad, 5 Januari 2020 | 11:37am
Api marak membakar hutan di Btemans Bay, New South Wales. - Foto AFP
Api marak membakar hutan di Btemans Bay, New South Wales. - Foto AFP

Australia mula buat anggaran kerugian akibat kebakaran hutan

BATEMANS BAY: Rakyat Australia mula membuat anggaran kerugian akibat kebakaran hutan yang mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di negara itu selain mengorbankan 24 nyawa.

Ratusan hartanah yang musnah dan kisah seorang lelaki terkorban ketika cuba selamatkan rumah rakannya daripada terbakar adalah antara tragedi kebakaran hutan terburuk dalam sejarah Australia yang sudah berlarutan berbulan lamanya.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian, berkata ini kali pertama Australia menghadapi kebakaran hutan sebegitu besar.

“Beberapa bandar yang tidak pernah mengalami kebakaran hutan kini menghadapi kemungkinan lenyap, musnah terbakar sama sekali,” katanya.

Kebakaran itu turut mendorong Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, mengerahkan 3,000 anggota tentera untuk membantu anggota bomba dan sukarelawan bomba yang semakin kepenatan.

Namun, tindakan itu dikritik Ketua Bomba New South Wales, Shane Fitzsimmons, kerana tidak dibincangkan terlebih dulu, malah beliau sendiri hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

“Saya dukacita dan kecewa kerana dalam menghadapi tragedi terburuk ini, terpaksa pula menguruskan kemasukan begitu ramai orang ke kawasan bencana,” katanya.

Minggu lalu, Ratu Elizabeth II, menyampaikan ucapan takziah kepada Australia selain menyuarakan rasa sedih dengan tragedi itu dan berterima kasih kepada mereka yang menggadaikan nyawa cuba memadam kebakaran.

Ramai dalam kalangan artis tidak ketinggalan menghulurkan bantuan jutaan dolar termasuk penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Pink, yang mengumumkan di laman Twitternya Sabtu lalu, akan menderma AS$500,000.

Pelakon wanita warga Australia, Nicole Kidman, turut mengumumkan di laman Instagram beliau bahawa akan menderma AS$500,000.

Cuaca lebih sejuk dan hujan di New South Wales serta Victoria hari ini mengurangkan sedikit beban pasukan pemadam api, namun jarak penglihatan terhad kepada 50 meter dan api masih marak di kawasan tertentu.

Di, Cooma, kawasan pedalaman di selatan New South Wales, krisis kebakaran bertukar kepada banjir apabila tangki menara berisi 4.5 juta liter air tumbang, menyebabkan air menghanyutkan kereta dan mengakibatkan rumah dimasuki lumpur.

Ibu negara Australia, Canberra diisytihar bandar dengan kualiti udara terburuk dunia Ahad lalu oleh badan bebas pemantau kualiti udara, Air Visual. - AFP

Berita Harian X