Isnin, 6 Januari 2020 | 1:54pm

China nafi wabak pneumonia bukan SARS

BEIJING: China menegaskan wabak pneumonia yang membabitkan 59 orang setakat ini bukan virus Sindrom Penafasan Yang Teruk (SARS), yang menyebabkan ratusan orang terbunuh sedekad lalu.

Jangkitan yang mula dilaporkan di Wuhan, sebuah bandar dengan lebih 11 juta penduduk, menyebabkan spekulasi di media sosial bahawa ia mungkin wabak SARS yang mudah berjangkit.

Suruhanjaya Kesihatan Wuhan berkata wabak itu sudah dipastikan bukan selsema, selsema burung, adenovirus, SARS atau Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Polis Wuhan berkata pihaknya menghukum lapan individu kerana menerbitkan atau menghantar maklumat palsu di laman sosial tanpa mengesahkannya terlebih dulu.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Kesihatan Wuhan, tujuh daripada 59 pesakit sakit teruk tetapi tiada yang maut setakat ini. Kesemua mereka dikuarantin dan menerima rawatan.

Jangkitan berlaku antara 12 and 29 Disember, membabitkan beberapa pesakit yang bekerja di pasar makanan laut di bandar itu, yang kini ditutup untuk proses nyah kuman. Setakat ini tiada bukti menunjukkan wujud jangkitan dari manusia kepada manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, hakikat bahawa jangkitan berlaku di pasar basah menempatkan makanan laut dan ternakan hidup mungkin menandakan ada jangkitan daripada haiwan.

Bagaimanapun, WHO tidak akan mengenakan larangan perjalanan atau perdagangan terhadap China.

Wabak SARS membunuh 349 orang di China dan 299 orang di Hong Kong pada 2003.

Mengikut WHO, virus yang menjangkiti lebih 8,000 orang di seluruh dunia itu dipercayai berasal dari wilayah Guangdong di selatan China.

China memecat Menteri Kesihatannya, Zhang Wenkang, kerana gagal menguruskan krisis itu selepas beberapa bulan kes pertama dilaporkan. WHO mengumumkan China bebas SARS pada Mei 2004. - Reuters

Berita Harian X