Selasa, 7 Januari 2020 | 6:59pm
Ribuan rakyat Iran mengiringi jenazah Qasem Soleimani yang dibawa ke kampung halamannya di Kerman. - Foto AFP
Ribuan rakyat Iran mengiringi jenazah Qasem Soleimani yang dibawa ke kampung halamannya di Kerman. - Foto AFP

Soleimani dikebumi di kampung halaman, AS nafi keluar dari Iraq

DUBAI: Jenazah komander tentera Iran yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Iraq minggu lalu tiba di kampung halamannya untuk dikebumikan hari ini, ketika Setiausaha Pertahanan AS menafikan laporan tenteranya sedang bersiap menarik diri dari wilayah Iraq.

Kematian Qasem Soleimani, individu bertanggungjawab mengukuhkan rangkaian pasukan proksi Tehran di rantau itu, menyebabkan seluruh Iran berkabung, disamping memperbaharui gesaan Iran supaya tentera AS keluar dari Iraq.

AS dan Iran saling memberi amaran mengenai serangan dan pertikaian susulan insiden itu yang membangkitkan kebimbangan baru mengenai konflik Asia Barat yang lebih luas.

Kongres AS sebelum ini mengumumkan mahu memperkenalkan resolusi baharu bagi menghalang Presiden AS, Donald Trump mengheret negara itu ke kancah peperangan dengan Iran.

"Kami akan membalas dendam, dendam lebih keras dan kuat," kata ketua Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Brigadier Jeneral Hossein Salami, di hadapan puluhan ribu orang yang berkabung di kediaman Soleimani di Kerman, sambil orang ramai melaungkan 'kematian untuk AS' dan mengibar bendera Iran.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan komander tertinggi tenteranya menyatakan pembalasan ke atas tindakan AS itu akan menandingi skala pembunuhan Soleimani.

"Syahid Qassem Soleimani lebih berbahaya kepada musuh Qasem Soleimani," kata Salami.

Media semalam melaporkan tentera AS sudah menghantar surat kepada pegawai tertinggi Iraq memaklumkan tentera AS bersiap untuk meninggalkan Iraq, namun dinafikan segera Pentagon.

"Tidak ada keputusan untuk meninggalkan Iraq. Saya tidak tahu mengenai surat itu," kata Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper kepada pemberita. - REUTERS

Berita Harian X