Khamis, 9 Januari 2020 | 5:23pm
- Foto hiasan

Virus baharu punca kes pneumonia di China

LONDON: Lebih 50 kes pneumonia yang dilapor berlaku di Wuhan, China mungkin berpunca daripada virus jenis sama yang menyebabkan wabak SARS dan MERS, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Walaupun memerlukan maklumat lebih komprehensif dalam menentukan jenis patogen yang menyebabkan jangkitan itu, WHO mengesahkan virus baharu berkemungkinan besar menjadi punca penyakit.

Sementara itu agensi berita rasmi China, Xinhua, melaporkan keputusan awal sepasukan pakar mengesahkan wabak yang bermula Disember lalu itu berpunca daripada virus baharu.

Ahli akademik di Akademi Kejuruteraan China yang mengetuai pasukan terbabit, Xu Jianguo, berkata ujian ke atas 15 pesakit mendapati mereka positif dijangkiti virus berkenaan.

Sebanyak 56 kes pneumonia dilaporkan setakat Ahad lalu.

“Ia akan mengambil masa bertahun untuk penyelidik membangunkan ubat dan vaksin baharu,” lapor Xinhua.

Wabak berkenaan bermula sebelum cuti perayaan Tahun Baharu Cina akhir bulan ini, yang bakal menyaksikan ramai penduduk China pulang ke kampung halaman atau melakukan perjalanan ke luar negara.

Sumber kerajaan dalam satu taklimat hari ini berkata, kerajaan China menjangkakan 440 juta perjalanan menggunakan kereta api dan 79 juta perjalanan menggunakan kapal terbang dilakukan oleh penumpang seluruh China.

Ketua jurutera kementerian pengangkutan China, Wang Yang, berkata pihak berkuasa akan meningkatkan usaha mencegah penularan wabak pneumonia pada musim cuti, termasuk melaksanakan kaedah pembersihan yang sempurna di semua hab utama pengangkutan awam.

Koronavirus adalah keluarga besar virus yang boleh menyebabkan jangkitan, bermula dari demam biasa hingga Sindrom Pernafasan Akut (SARS).

Ada virus hanya mendatangkan jangkitan biasa manakala ada yang berpotensi membawa penyakit lebih buruk seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Menurut WHO, koronavirus berkembang mengikut zaman, termasuk SARS pada 2002 dan MERS pada 2012.

Laporan pihak berkuasa China menyebut, virus di sebalik kes yang berlaku di Wuhan boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan tidak mudah tersebar sesama individu.

“Lebih banyak maklumat komprehensif diperlukan bagi mengesahkan jenis patogen, memahami dengan lebih jelas wabak berkenaan, gambaran klinikal, siasatan untuk menentukan punca, kaedah penyebaran, tahap jangkitan dan langkah pencegahan,” kata WHO.

Pada 2003, kerajaan China menyembunyikan penyebaran wabak SARS selama beberapa minggu sebelum peningkatan jumlah kematian memaksa kerajaan mendedahkan ia kepada umum.

Wabak terbabit merebak begitu pantas ke bandar serta negara lain, menjangkiti lebih daripada 8,000 individu dan meragut 775 nyawa. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X