Khamis, 9 Januari 2020 | 5:58pm
HELIKOPTER membantu mengawal kebakaran hutan. - Foto AFP
HELIKOPTER membantu mengawal kebakaran hutan. - Foto AFP

Kebakaran hutan kembali marak, penduduk berpindah lagi

MERIMBULA/SYDNEY: Pihak berkuasa Australia menggerakkan satu lagi arahan perpindahan di kawasan populasi padat di tenggara negara itu hari ini, susulan cuaca panas yang kembali memarakkan kebakaran hutan yang mengancam beberapa bandar dan penempatan.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, meminta penduduk sentiasa peka terhadap kemungkinan suasana lebih ekstrem.

“Jika diarah meninggalkan kediaman, sila patuh. Itu sahaja cara untuk menjamin keselamatan,” katanya dalam taklimat yang disiarkan di televisyen, hari ini.

Sebahagian daripada Pulau Kangaroo, kawasan tumpuan pelancong yang dipenuhi hidupan liar di pesisir tenggara, sekali lagi dikosongkan hari ini walaupun Perdana Menteri, Scott Morrison, merayu pelancong asing supaya tidak berasa terganggu oleh kebakaran terbabit.

Dalam taklimat berasingan di Adelaide, Ketua Bomba Australia Selatan, Mark Jones, meminta semua pihak mematuhi arahan.

“Ikut arahan dan bergerak ke bahagian timur pulau yang dilihat selamat buat masa ini,” katanya.

Satu pertiga daripada pulau itu musnah disebabkan kebakaran.

Maklumat kerajaan mengesahkan, kebakaran hutan mengorbankan 27 nyawa setakat ini.

Kebakaran hutan kini memusnahkan kawasan seluas lebih 10.3 juta hektar, iaitu keluasan sama dengan Korea Selatan.

Ribuan penduduk kehilangan kediaman, selain ribuan juga terpaksa berulang kali berpindah berikutan api yang cepat marak.

Penduduk pekan pesisir Mallacoota adalah antara yang dinasihatkan berpindah. Ribuan penduduk terbiar di pantai selama beberapa hari sehingga diselamatkan oleh pasukan tentera dalam operasi yang berakhir semalam.

“Ke mana kami harus pergi jika berpindah? kata Mark Tregellas, yang meraikan sambutan tahun baharu di atas bot selepas kebakaran memusnahkan pekannya.

“Bekalan elektrik beransur-ansur pulih tetapi semua penduduk bergantung kepada generator dan bahan api amat terhad.

“Penduduk kehabisan bekalan petrol di kebanyakan pekan dan ramai yang menunggang basikal ke sana sini,” katanya. - Reuters

Berita Harian X