Isnin, 13 Januari 2020 | 11:48am
KEADAAN kereta dan pokok yang musnah dalam kebakaran di Lithgow. - Foto AFP
KEADAAN kereta dan pokok yang musnah dalam kebakaran di Lithgow. - Foto AFP

Kebakaran besar di Australia dalam kawalan

SYDNEY: Pasukan pemadam api yakin berjaya mengawal kebakaran di Australia berikutan perubahan cuaca membantu mengurangkan kesannya terhadap kebakaran hutan terbesar negara itu.

Pesuruhjaya New South Wales Rural Fire Service, Shane Fitzsimmons, berkata hanya ada kawasan kecil kebakaran yang perlu dipadamkan dan secara umumnya kebakaran besar hampir tiga bulan di kawasan Gospers Mountain, barat laut Sydney sudah berjaya dikawal.

Api yang marak membakar kawasan taman negara seluas tiga kali ganda Greater London dan turut merebak ke kawasan merangkumi lebih 800,000 hektar iaitu , lebih luas daripada Austria.

Ketika penduduk dan pihak berkuasa masih cuba menerima hakikat betapa besar kemusnahan yang berlaku, Biro Meteorologi meramalkan kawasan yang terbakar mungkin menerima sehingga 50 millimeter (mm) hujan minggu depan selepas kemarau yang berpanjangan.

Flora dan fauna unik Australia paling teruk terjejas akibat malapetaka ini, di mana satu bilion haiwan dianggarkan terbunuh dan banyak lagi pokok serta belukar musnah terbakar.

Menteri Alam Sekitar Australia, Sussan Ley, memberi amaran bahawa di sesetengah kawasan, beruang koala mungkin terpaksa diisytiharkan sebagai haiwan terancam.

Kebakaran itu juga membawa kesan ketara terhadap politik negara, di mana pungutan suara minggu lalu mendapati sokongan terhadap Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, merudum berikutan kritikan umum mengenai cara beliau menangani krisis.

Tinjauan The Newspoll menunjukkan 59 peratus pengundi Australia tidak puas hati dengan prestasi pemimpin Parti Konservatif itu manakala hanya 37 peratus berpuas hati sejak beliau memenangi pilihanraya Mei lalu.

Morrison dikritik hebat mengenai cara beliau menangani krisis selama beberapa bulan itu termasuk kerana bercuti di Hawaii, membuat kenyataan tidak masuk akal, kenyataan mengelirukan dan memaksa mangsa kebakaran berjabat tangan dengan beliau.

Menyedari kemarahan umum, Morrison mengerahkan pasukan tentera dan kerahan terbesar pasukan simpanan untuk membantu kerja memadam api selain memperuntukkan berbilion dolar sebagai bantuan, elaun anggota bomba. - AFP

Berita Harian X