Isnin, 13 Januari 2020 | 1:44pm

Wabak pneumonia di China belum merebak setakat ini - WHO

LONDON: Wabak pneumonia yang mengakibatkan seorang maut dan menjangkiti 40 orang di China, yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di Wuhan, belum merebak setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan semalam tetapi penularan jangkitan menimbulkan kebimbangan mungkin berlaku wabak.

China minggu lalu mengesahkan virus yang mengakibatkan pneumonia itu belum dikenal pasti tetapi dari keluarga sama dengan virus Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Bagaimanapun, WHO menjelaskan wabak itu belum lagi merebak dan pasar makanan laut Wuhan, yang juga hab pengangkutan tempatan serta antarabangsa, kini ditutup manakala tiada kes dilaporkan di tempat lain di China atau negara lain.

“Bukti kukuh menunjukkan penularan wabak itu berkait dengan pendedahan di sebuah pasar makanan laut di Wuhan, yang ditutup 1 Januari lalu.

“Buat masa sekarang, tiada jangkitan dalam kalangan pekerja kesihatan dan tiada bukti jelas jangkitan antara manusia kepada manusia,” katanya.

Suruhanjaya Kesihatan Majlis Daerah Wuhan, dalam satu kenyataan, berkata empat lagi pesakit dibenarkan pulang dan tiada kes baharu dilaporkan sehingga Sabtu lalu.

Sementara itu, 717 orang lagi yang dikatakan berhubung rapat dengan pesakit, kekal di bawah pengawasan perubatan.

Dalam kalangan 41 orang disahkan dijangkiti virus pneumonia yang baru, seorang lelaki berusi 61 tahun dengan masalah kesihatan serius meninggal dunia minggu lalu manakala tujuh lagi disifatkan kritikal.

Minggu lalu, WHO berkata virus dari keluarga koronavirus yang menyebabkan wabak SARS dan MERS, berkemungkinan menyebabkan wabak baru itu.

“Berdasarkan siasatan epidemiologi awal, kebanyakan kes membabitkan individu yang bekerja atau kerap mengunjungi Pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan.

“Sehingga kini, siasatan masih berterusan bagi menganggarkan tahap penularan wabak,” katanya. - Reuters

Berita Harian X