Selasa, 14 Januari 2020 | 6:42pm
Iran hari ini menahan suspek yang tidak didedahkan jumlahnya atas tuduhan menembak jatuh sebuah pesawat syarikat penerbangan Ukraine. - Foto AFP

Iran tahan suspek kes tembakan pesawat Ukraine

DUBAI: Iran hari ini menahan suspek yang tidak didedahkan jumlahnya atas tuduhan menembak jatuh sebuah pesawat syarikat penerbangan Ukraine berikutan demonstrasi anti kerajaan yang masuk hari keempat dicetuskan susulan tragedi berkenaan.

Tragedi yang mengorbankan semua 176 penumpang dan kru itu mengakibatkan pemimpin Iran berdepan cabaran terhebat selepas menguasai republik Islam itu selepas berlakunya Revolusi Islam 1979.

Jurucakap mahkamah Iran, Gholamhossein Esmaili, berkata beberapa tertuduh yang dipercayai terbabit dalam tragedi berkenaan sudah ditahan, bagaimanapun identiti lanjut mengenai mereka masih dirahsiakan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Luar Ukraine, Vadym Prystaiko, berkata kesemua lima negara yang rakyatnya terbabit dalam nahas berkenaan akan mengadakan satu pertemuan esok.

“Kami akan berjumpa di London untuk membincangkan pelbagai isu bagi mencari penyelesaian termasuk aspek perundangan dan tindakan susulan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, seramai 57 rakyatnya yang menjadi mangsa tragedi itu mungkin masih hidup sekiranya tidak berlaku pergelutan di wilayah berkenaan.

Susulan rakaman transkrip itu, Trudeau turut menegaskan, Kanada tidak bersekongkol dengan Amerika Syarikat membabitkan pembunuhan komander tertinggi Iran, Qassem Soleimani.

“Ini adalah keputusan Amerika. Kami cuba berkerja dalam komuniti antarabangsa bagi mendepani isu besar ini. Tetapi kadang kala sesetengah negara membuat keputusan tanpa merujuk sekutu yang lain,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X