Rabu, 15 Januari 2020 | 2:03pm
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif. - Foto Reuters
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif. - Foto Reuters

Britain, Perancis, Jerman tuduh Iran langgar perjanjian nuklear

PARIS: Britain, Perancis dan Jerman mendakwa Iran mencabuli perjanjian yang dimeterai pada 2015 untuk mengehadkan pelaksanaan program nuklear, tuduhan yang boleh membawa kepada pelaksanaan semula sekatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Kuasa utama Eropah berkenaan berkata, mereka mengambil tindakan sedemikian untuk mengelakkan krisis susulan peningkatan mendadak nuklear yang akan memburukkan lagi konfrontasi di Asia Barat.

Satu lagi negara terbabit dalam perjanjian berkenaan iaitu Russia berkata, ia tidak melihat wujudnya asas yang boleh membawa kepada pelaksanaan sekatan itu dan Iran menolak tindakan berkenaan dengan menganggapnya sebagai ‘kesilapan strategi’.

Ketiga-tiga negara berkenaan mahu perjanjian nuklear dengan Iran berjaya, justeru tidak akan menyertai kempen tekanan maksimum oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengenepikan perjanjian pada 2018 dan melaksanakan semula sekatan ekonomi ke atas Iran.

Tindakan oleh ketiga-tiga negara berkenaan yang boleh dianggap sebagai menuduh Iran mencabuli terma perjanjian secara rasmi, dikritik menteri luar Iran.

“Penggunaan kaedah bangkangan ini tidak berasas dari aspek perundangan dan satu kesilapan strategi jika dilihat dari sudut pandangan politik,” kata menteri luar berkenaan, Mohammad Javad Zarif, seperti dilaporkan oleh agensi berita Fars.

Iran yang menafikan program nuklear itu bertujuan menghasilkan bom, kembali kepada komitmen berkenaan sejak pengunduran AS.

“Kami tidak menerima kenyataan bahawa Iran berhak mengurangkan kepatuhan bersama JCPoA. Kami tidak menyertai kempen pelaksanaan tekanan maksimum ke atas Iran. Harapan kami adalah untuk membawa Iran kembali sepenuhnya kepada komitmen di bawah JCPoA,” kata ketiga-tiga negara Eropah berkenaan dalam satu kenyataan bersama, menggunakan nama rasmi perjanjian terbabit, Plan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPoA).

Iran sejak sekian lama menuduh Eropah mungkir janji dalam mempertahankan ekonomi mereka daripada sekatan oleh AS, kata jurucakap kementerian luar, Abbbas Mousavi yang turut menyifatkan tindakan ketiga-tiga negara berkenaan sebagai satu perbuatan amat pasif.

Katanya, Iran akan menyokong apa sahaja tindakan baik dan usaha membina bagi menyelamatkan perjanjian berkenaan namun akan memberi perhatian serius kepada sebarang tindakan yang boleh memusnahkan.

Kementerian Luar Russia berkata, pengaktifan mekanisme itu boleh menyebabkan pelaksanaan semula perjanjian terbabit adalah mustahil. - AFP

Berita Harian X