Rabu, 15 Januari 2020 | 11:49pm
RAJA Jordan, Raja Abdullah. - Foto AFP

Perang AS-Iran menyebabkan huru-hara terburuk

STRASBOURG: Raja Jordan, Raja Abdullah memberi amaran peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran hanya akan menimbulkan keadaan huru-hara terburuk kepada dunia.

Bercakap kepada penggubal undang-undang Eropah, Raja Abdullah berkata, ketegangan dan bahaya di Asia Barat masih belum berlalu.

“Apa akan berlaku jika kedua-dua pihak (AS dan Iran) tidak mahu mengalah dan akhirnya membawa kita semua ke kancah peperangan? Peperangan berskala besar akan menyebabkan ketidakstabilan kepada seluruh wilayah.

“Lebih membimbangkan, ia mendatangkan risiko dan kemusnahan kepada ekonomi global, termasuk pasaran serta mengundang ancaman keganasan di seluruh dunia,” katanya.

Baginda turut melahirkan kebimbangan berhubung situasi di Syria dan Iraq serta menggesa supaya kesabaran dan kepemimpinan yang baik bagi menangani isu berkenaan.

“Apakah yang berlaku jika Syria kekal menjadi tebusan kepada persaingan global dan kembali kepada perang saudara? Apa akan berlaku jika ISIS muncul kembali dan menjadi pentas serangan ke seluruh dunia?” soalnya.

Kemelut di Iraq, katanya, mengundang risiko membawa negara itu ke dalam kitaran ‘pemulihan dan kebangkitan atau lebih buruk lagi, konflik’.

Dalam pada itu, Raja Abdullah menegaskan langkah Israel membina penempatan haram di wilayah Palestin dan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa, hanya menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dunia. - AFP

Berita Harian X