Khamis, 16 Januari 2020 | 10:28am
Pegawai kesihatan awam menjalankan imbasan pada penumpang yang tiba dari Wuhan, China di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand pada 8 Januari. - Foto GettyImages
Pegawai kesihatan awam menjalankan imbasan pada penumpang yang tiba dari Wuhan, China di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand pada 8 Januari. - Foto GettyImages

Jepun sahkan kes pertama wabak baharu coronavirus China

TOKYO: Jepun mengesahkan kes pertama akibat jangkitan daripada wabak baharu, coronavirus China, kata kementerian kesihatan negara itu hari ini.

Menurut kementerian itu, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Kanagawa, disahkan positif terhadap virus itu. Mangsa dikatakan pernah melawat Wuhan, China tempat penularan gejala pneumonia yang dipercayai disebabkan coronavirus baharu yang belum dikesan setakat ini.

Susulan penularan itu Jabatan Negara Amerika Syarikat sudah mengeluarkan amaran perjalanan berhubung kunjungan ke Wuhan.

Mengikut jabatan itu, pelawat ke kota itu diingatkan untuk mengambil langkah pencegahan termasuk mengelak bersentuhan dengan haiwan, mengunjungi pasar haiwan atau makan produk haiwan.

Kementerian Kesihatan Thailand juga mengambil langkah pencegahan dengan meningkatkan pemantauan terhadap pelancong yang tiba di lapangan terbang menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang mana dijangka lebih 800,000 pelancong China melawat negara itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengumumkan bahawa virus baharu itu boleh merebak dan mengingatkan hospital seluruh dunia untuk berjaga-jaga.

Coronavirus adalah sebahagian daripada keluarga virus yang boleh menyebabkan jangkitan daripada selesema biasa sehinggalah kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Sebahagian daripada virus berkenaan menyebabkan jangkitan tidak serius manakala ada juga yang boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Pesakit Jepun yang diserang coronavirus itu pulang dari Wuhan bulan lalu, mengadu demam dan dirawat di hospital. Dia dibenarkan keluar hospital semalam selepas gejala yang dialami pulih.

- Reuters

Berita Harian X