Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:11pm
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - Foto Reuters

Perang Iran dengan AS boleh melampaui sempadan - Khamenei

DUBAI: Pasukan Quds Pengawal Revolusi Iran (IRGC) boleh membawa pertempuran mereka melepasi sempadan negara itu bagi membela kematian komander mereka, Qassem Soleimani.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam khutbah Jumaat yang pertama beliau sampaikan dalam tempoh lapan tahun, memberitahu ribuan jemaah yang melaungkan ‘Death to America’, bahawa Eropah tidak boleh dipercayai lagi.

“Tindakan mereka melancarkan mekanisme mempertikaikan perjanjian nuklear mungkin menyebabkan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran dikuatkuasa semula.

“Perjuangan mesti diteruskan sehingga wilayah ini bebas sepenuhnya daripada cengkaman musuh,” katanya merujuk kepada Amerika Syarikat (AS) dan menuntut tentera negara itu meninggalkan Asia Barat.

Tindakan Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear Tehran dengan kuasa dunia lain dan pelaksanaan sekatan ekonomi oleh AS menyebabkan ketegangan memuncak antara kedua-dua negara itu sejak kebelakangan ini.

Tindakan Presiden AS, President Donald Trump mengarahkan serangan dron yang mengorbankan Soleimani dan serangan balas Iran termasuk kes tersilap tembak pesawat komersial Ukraine turut memburukkan lagi keadaan. - Reuters

Berita Harian X