Sabtu, 18 Januari 2020 | 10:51am

Wabak koronavirus baharu babit virus tidak pernah dilihat sebelum ini

PARIS: Wabak koronavirus baharu yang tercetus di Wuhan, China, membabitkan jenis virus tidak pernah dilihat sebelum ini, menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia daripada keluarga virus yang luas membabitkan selesema biasa hinggalah penyakit lebih serius seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Ketua Jabatan Epidemiologi, Institut Paster, Paris, Arnaud Fontanet, berkata virus baharu terbabit adalah jenis koronavirus yang ketujuh diketahui boleh dijangkiti manusia.

“Kami berpendapat bahawa sumbernya mungkin haiwan yang dijual di pasar dan berpindah dari situ kepada manusia,” katanya kepada AFP.

Setakat ini, tiada petunjuk pemindahan virus itu daripada manusia kepada manusia.

Wabak itu sekali gus mencetuskan keresahan berikutan kaitannya dengan SARS yang mengorbankan 349 orang di tanah besar China dan 299 lagi di Hong Kong antara 2002 hingga 2003.

Fontanet berkata, jenis virus ketika ini mempunyai 80 peratus persamaan secara genetik dengan SARS.

Sekurang-kurangnya 40 kes dilaporkan di Wuhan, tahun ini, dengan wabak itu sudahpun meragut dua nyawa.

Fontanet berkata, koronavirus berkenaan kelihatan ‘lebih lemah’ daripada SARS dalam bentuk ketika ini, namun ia boleh berubah menjadi lebih ganas.

“Kita tidak ada bukti bahawa virus itu akan bermutasi tetapi itulah yang berlaku dengan SARS.

“Virus itu baru menular, justeru masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Fontanet berkata, penularan wabak itu ke luar China ‘menyebabkan orang ramai mulai takut yang jangkitan daripada manusia kepada manusia boleh berlaku’. - AFP

Berita Harian X