Isnin, 20 Januari 2020 | 10:38am
Koronavirus. - Foto AFP
Koronavirus. - Foto AFP

Koronavirus: China catat kematian ketiga, wabak merebak ke bandar lain

BEIJING: Beijing: Presiden China, Xi Jinping, berkata negara itu akan membendung penularan wabak pneumonia berpunca daripada koronavirus baharu yang mengorbankan tiga nyawa setakat ini.

"Nyawa dan kesihatan orang ramai mesti diberi keutamaan tertinggi, usaha tegas perlu diambil bagi membendung penularan wabak ini,” katanya kepada stesen televisyen tempatan.

Pihak berkuasa China melaporkan, wabak koronavirus kini merebak ke lebih banyak bandar di negara ini dengan 217 kes baharu dilaporkan pada hujung minggu, termasuk kematian ketiga.

Pihak suruhanjaya kesihatan Daxing di Beijing mengesahkan dua kes koronavirus, manakala suruhanjaya kesihatan di selatan wilayah Guangdong mengesahkan satu kes di Shenzhen.

Kes baharu terbabit merupakan yang pertama di China dilaporkan berlaku di luar Wuhan di mana wabak berkenaan tercetus, menjelang cuti Tahun Baharu Cina dengan berjuta-juta penduduk bakal mengembara di dalam dan ke luar negara.

Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan dalam satu kenyataan berkata, 136 kes baharu dikesan di bandar itu pada Sabtu dan Ahad lalu.

Setakat Ahad lalu, sejumlah 198 kes dilaporkan di Wuhan, termasuk tiga kematian. Kira-kira 170 orang masih dirawat di hospital, manakala 25 lagi sudah sembuh.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mengulas lanjut mengenai kes kematian yang terbaru.

Beijing berkata, ia akan meningkatkan usaha mengekang penularan wabak itu, sementara pihak berkuasa kesihatan di negara lain turut mengambil langkah pencegahan.

Virus baharu terbabit adalah daripada keluarga koronavirus sama dalam Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh hampir 800 orang di serata dunia ketika wabak juga tercetus di China itu menular pada 2002 dan 2003.

Menurut beberapa pakar, virus baharu itu berkemungkinan tidak mencapai tahap ancaman maut seperti SARS tetapi banyak yang belum diketahui mengenainya, termasuk punca dan sejauh mana ia boleh dipindahkan daripada manusia kepada manusia. - REUTERS

Berita Harian X