Jumaat, 31 Januari 2020 | 7:29pm
Boris Kunsevitsky, 53, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Melbourne selepas mengaku bersalah pada Mei lalu kepada 59 tuduhan membabitkan kanak-kanak yang menyalahgunakan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dan menghasilkan pornografi kanak-kanak. - Foto ESTHEMEDICA
Boris Kunsevitsky, 53, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Melbourne selepas mengaku bersalah pada Mei lalu kepada 59 tuduhan membabitkan kanak-kanak yang menyalahgunakan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dan menghasilkan pornografi kanak-kanak. - Foto ESTHEMEDICA

Pemangsa seks bawah umur dipenjara 35 tahun

SINGAPURA: Warga Australia yang melakukan penderaan seksual terhadap beberapa budak lelaki di Asia Tenggara ketika bekerja di sini, dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun.

Boris Kunsevitsky, 53, dihukum mahkamah di Melbourne, Australia selepas mengaku bersalah pada Mei lalu, membabitkan 59 pertuduhan melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak berusia bawah 16 tahun dan menghasilkan pornografi kanak-kanak.

Pertuduhan turut merangkumi kesalahan mengajar kanak-kanak untuk saling melakukan perbuatan seks, penderaan seksual terhadap kanak-kanak secara berulang kali dan mengimport bahan pornografi kanak-kanak.

Kunsevitsky akan menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 28 tahun, sebelum beliau layak dipertimbangkan untuk dibebaskan lebih awal berbanding tempoh penuh, iaitu 35 tahun.

Kesalahan warga Australia itu berlaku selama 15 tahun, merangkumi beberapa negara, antaranya Filipina, Indonesia, Australia dan Singapura, selain membabitkan 47 mangsa termasuk lima mangsa rakyat Singapura.

Berdasarkan dokumen mahkamah disediakan pihak berkuasa Australia, Kunsevitsky, yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, dilaporkan bekerja di Singapura ketika melakukan siri jenayah terbabit.

Dia dikatakan berpindah ke Singapura pada awal 2000 dan sering berkunjung ke Indonesia serta Filipina, iaitu antara negara yang sering dilawati bagi mencari mangsa perbuatan seksualnya.

Mengikut rekod, antara jenayah seksual terawal pernah dilakukannya membabitkan seorang budak yang ketika itu berada di rumah Kunsevitsky, di Singapura, antara September 2002 hingga Ogos 2003.

Kunsevitsky melakukan seks bersama budak lelaki itu, yang ketika kejadian hanya berusia antara 12 hingga 14 tahun, malah perbuatan itu dirakamkan untuk tujuan lain.

Keghairahan memuaskan nafsu serakah tidak terhenti di situ apabila Kunsevitsky dilaporkan berada di Indonesia dan melakukan perbuatan sama terhadap budak lelaki berusia 12 tahun, antara Ogos hingga Disember 2002.

Meneroka sisi lain, Kunsevitsky ketika berada di Filipina, mengubah modus operandi apabila mengarahkan budak lelaki untuk mengadakan hubungan seksual sesama sendiri dan merakam keseluruhan aksi berkenaan.

Di Australia, beliau didapati melakukan hubungan seksual berulang kali bersama budak lelaki berusia bawah 16 tahun yang dikenalinya menerusi ruang sembang golongan remaja dalam talian, antara Januari 2004 hingga Oktober 2005. - The Straits Times

Berita Harian X