Selasa, 11 Februari 2020 | 8:41pm
PAKAR epidemiologi merangkap penasihat perubatan kerajaan, Zhong Nanshan. - Foto REUTERS
PAKAR epidemiologi merangkap penasihat perubatan kerajaan, Zhong Nanshan. - Foto REUTERS

Penularan coronavirus mungkin berakhir di China April ini - Pakar

GUANGZHOU: Penularan coronavirus yang memuncak di China bulan ini diramal mungkin berakhir April depan.

Perkara itu didedahkan pakar epidemiologi merangkap penasihat perubatan kerajaan, Zhong Nanshan, 83, yang memaklumkan ia adalah hasil penilaian terbaru mengenai virus yang sudah merebak ke seluruh dunia itu.

Beliau yang dikenali berikutan kejayaannya memerangi wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, berkata keyakinan itu susulan perkembangan terbaru coronavirus yang menunjukkan penurunan di beberapa tempat.

“Saya yakin bahawa virus ini lambat laun akan pulih susulan jumlah kes baharu semakin menurun di beberapa tempat.

“Bagaimanapun, coronavirus dijangka mencapai kemuncaknya pada pertengahan atau akhir Februari ini, kemudian angkanya mendatar dan semakin menurun berdasarkan ramalan model matematik seiring tindakan proaktif kerajaan.

“Saya berharap penularan berjaya dikawal atau berakhir menjelang April,” katanya di hospital dikendalikan Universiti Perubatan Guangzhou, di mana 11 pesakit coronavirus sedang dirawat.

Zhong berkata, terdapat pengurangan secara beransur-ansur dalam kes baru di wilayah selatan Guangdong, Zhejiang serta tempat lain, yang menjadi berita gembira baginya.

Katanya, tindakan China mengambil langkah-langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini untuk mengelak kawasan yang dijangkiti dan mengehadkan laluan penghantaran, adalah tindakan terbaik.

Setakat ini, data China menunjukkan kadar pemulihan coronavirus agak rendah, dengan kurang 10 peratus pesakit disahkan bebas jangkitan, bagaimanapun pakar epidemiologi itu berpendapat pihak berkuasa berusaha keras memulihkan pesakit yang dirawat di hospital. - REUTERS

Berita Harian X