Rabu, 12 Februari 2020 | 7:45am
Seorang lelaki memakai topeng menyeberangi jalan persimpangan yang biasanya sibuk di Beijing. - Foto AFP

Jumlah korban COVID-19 China cecah 1,113

BEIJING: Jumlah kematian akibat wabak coronavirus di tanah besar China meningkat kepada 1,113 orang dan jumlah kes disahkan mencecah 44,653, kata jawatankuasa kesihatan negara China hari ini.

Semalam, angka korban adalah seramai 1,016 orang dan jumlah kes disahkan sebanyak 42,638, lapor agensi berita Sputnik.

"Menjelang tengah malam 11 Februari, maklumat dari 31 wilayah...kira-kira 44,653 kes, termasuk 38,800 orang dijangkiti (8,204 berada dalam keadaan kritikal); 4,740 orang dibenarkan keluar hospital dan 1,113 meninggal dunia," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Ia kini secara rasmi dinamakan "COVID-19" pada persidangan di Geneva yang diadakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana ketua badan itu berkata negara-negara mempunyai peluang untuk menghentikan penyebaran global virus berkenaan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, semalam berkata meskipun 99 peratus kes itu di China, di mana ia masih kekal dalam situasi “sangat darurat,” ia juga "mempunyai ancaman yang sangat serius bagi seluruh dunia."

Beliau menggesa negara-negara supaya berkongsi data untuk terus mengkaji penyakit itu.

Pihak berkuasa China semalam memecat dua pegawai kesihatan kanan dari Hubei, di mana berpuluh-puluh juta orang telah diperintah berkurung sejak akhir bulan lalu, dan mengetatkan sekatan di ibukotanya, Wuhan. - AGENSI

Berita Harian X