Rabu, 12 Februari 2020 | 7:50am
Pakar epidemiologi China, Zhong Nashan. - Foto Xinhua
Pakar epidemiologi China, Zhong Nashan. - Foto Xinhua

COVID-19 berakhir April?

GUANGZHOU: Penelitian terbaru dikendalikan pasukan perubatan menjangkakan penularan wabak coronavirus (COVID-19) bakal memuncak pada bulan ini, sebelum berakhir menjelang April nanti.

Menempa nama susulan kejayaan menangani Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, pakar epidemiologi, Zhong Nashan, menaruh keyakinan kadar penularan wabak yang tercetus dari pasar makanan laut di Wuhan itu akan semakin menyusut tidak lama lagi, berikutan wujud pengurangan jumlah kes baharu dilaporkan sesetengah tempat.

Menerusi unjuran menggunakan model matematik, perkembangan semasa dan rangkaian tindakan kerajaan, beliau berkata, kemuncak penularan COVID-19 dijangkakan berlaku pada pertengahan atau akhir bulan ini, disusuli keadaan mendatar dan penurunan kes.

“Saya berharap penularan wabak ini akan berakhir sekitar April. Kita tidak tahu mengapa virus ini sangat mudah berjangkit, justeru ia masalah besar kepada kami,” katanaya.

Bersandarkan statistik semasa, Nashan berkata, wilayah selatan Guangdong mencatatkan penurunan kes baharu jangkitan COVID-19, malah perkembangan sedemikian dilaporkan di beberapa kawasan lain seperti Zhejiang.

Katanya, berita gembira itu adalah petanda penularan coronavirus berupaya ditangani kerajaan, selain memuji keputusan mengisytiharkan perintah berkurung dan penutupan rangkaian wilayah termasuk Wuhan yang sebelum ini dikenal pasti menjadi pusat penyebaran wabak berkenaan.

“Kerajaan tempatan, pihak berkuasa penjagaan kesihatan setempat sepatutnya menggiatkan usaha menangani penularan wabak ini,” katanya.

Menyentuh isu perkongsian maklumat, Nashan berkata, krisis SARS yang berlaku pada 17 tahun lalu menyaksikan ia sukar dikawal berikutan keengganan kerajaan untuk memaparkan maklumat terkini berhubung wabak terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan dilihat menjadikan kepincangan itu sebagai pengajaran apabila Beijing ketika ini tampak lebih telus dan menjalin kerjasama baik dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus melakar kejayaan dalam menangani penularan COVID-19.

“Tetapi sebenarnya banyak lagi yang perlu dilakukan, termasuk mengakhiri perdagangan hidupan liar, memeterai kerjasama antarabangsa mengenai teknologi penjagaan kebersihan, memperkasa operasi pusat kawalan penyakit dan mewujudkan sistem pemantauan global untuk memberi sebarang amaran risiko penularan wabak.

“Jika mempunyai kerjasama dan koordinasi lebih baik, kita berupaya mengenal pasti penularan wabak lebih awal dan menyedari hakikat mengenai jangkitan sesama manusia,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X