Rabu, 12 Februari 2020 | 8:40am
Saudara-mara penumpang melambai ke arah kapal pesiar Diamond Princess, dengan sekitar 3,600 orang dikuarantin di atas kapal akibat coronavirus, ketika kapal berlabuh dari Daikoku Pier Cruise Terminal di Yokohama. - Foto AFP
Gambar fail, petugas kapal memakai pakaian perlindung berjalan keluar dari kapal pesiar Diamond Princess dan bersedia untuk memindahkan penumpang yang diuji positif untuk coronavirus novel, di Daikoku Pier Cruise Terminal di Yokohama, selatan Tokyo. - Foto REUTERS

39 lagi di atas kapal persiaran Jepun positif coronavirus

TOKYO: Seramai 39 orang lagi, termasuk seorang pegawai kuarantin, telah diuji positif coronavirus di kapal persiaran Diamond Princess di Jepun, kata Menteri Kesihatan Katsunobu Kato, hari ini.

Angka itu membawa jumlah orang yang dijangkiti di atas kapal itu kepada 174 orang.

“Daripada 53 orang yang baru menjalani saringan, 39 disahkan positif,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, empat orang yang sudah dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius sama ada menggunakan alat bantuan pernafasan atau di dalam unit rawatan rapi (ICU).

Diamond Princess, sebelum ini, dikuarantin dan semua penumpangnya tidak dibenarkan mendarat sebaik tiba di perairan Jepun, sejak minggu lalu.

Ia selepas seorang bekas penumpangnya yang sebelum ini mendarat di Hong Kong, disahkan positif ’COVID-19’.

Mereka yang dikuarantin diminta tinggal di dalam kabin masing-masing dan dibenarkan untuk keluar untuk tempoh pendek ke dek.

Ada 3,711 orang di dalam kapal berkenaan.

Semuanya diarahkan untuk memakai penutup mulut dan hidung dan tidak mendekati satu sama lain.

Selain itu, saringan suhu badan juga sentiasa dijalankan terhadap penumpang dan anak kapal.

Kapal itu dijangka dikuarantin sehingga 19 Februari. - AGENSI

Berita Harian X