Khamis, 13 Februari 2020 | 6:46pm
Wanita memakai topeng hidung dan mulut menaiki kenderaan awam di Beijing. - Foto AFP
Wanita memakai topeng hidung dan mulut menaiki kenderaan awam di Beijing. - Foto AFP

Angka kematian meningkat selepas definisi jangkitan diperluas

BEIJING: Angka kematian rasmi di China akibat COVID-19 meningkat secara mendadak hari ini selepas pihak berkuasa mengubah kaedah pengiraan, sekali gus menggambarkan penularan wabak itu lebih teruk berbanding dilaporkan.

Wilayah Hubei yang paling teruk terjejas melaporkan 242 kes kematian hanya dalam sehari dan 14,840 pesakit baharu, di mana ia adalah angka terbesar yang direkodkan dalam tempoh sehari sejak krisis tercetus bulan lalu.

Sehingga kini jumlah kematian meningkat kepada 1,367 kes dan jumlah jangkitan sehari di China pula dilaporkan mencecah 60,000.

Ia hanya beberapa jam selepas Presiden Xi Jinping berkata “keputusan positif” daripada langkah-langkah kerajaan untuk membendung virus itu dan pakar terkemuka tempatan meramalkan wabak itu akan memuncak bulan ini.

Pegawai di Hubei berkata, mereka memperluaskan definisi untuk kes-kes COVID-19 dengan memasukkan individu yang “didiagnosis secara klinikal” bagi virus berkenaan ke dalam pengiraan harian.

Ini bermakna pegawai boleh menggunakan pengimejan paru-paru pada kes yang disyaki untuk mendiagnosis virus dan bukan hanya ujian asid nukleik standard.

Mengulas kaedah pengiraan baharu itu, menurut Profesor Sains Politik di Kolej Williams dekat Massachusetts, Sam Crane, ia mungkin percubaan sah untuk menjadi lebih telus tetapi kesan segeranya adalah untuk menanam lebih kesangsian.

“Anehnya, ini adalah saat untuk lebih telus. Tidak jelas jika masalah dan isu sekarang ini kurang ketelusan atau amalan perubatan yang buruk,” katanya.

Seorang penyelidik China di Universiti Kebangsaan Australia, Yun Jiang, berkata metodologi baharu itu mungkin langkah praktikal kerana Hubei mempunyai kekurangan kit ujian makmal.

“Saya tidak fikir angka itu semestinya dimanipulasi untuk tujuan politik tetapi angka itu sendiri mungkin tidak boleh dipercayai,” katanya. - AGENSI

Berita Harian X