Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:06pm
- Foto hiasan

Peningkatan mendadak COVID-19 di Hubei adalah sekali sahaja

BEIJING: Wilayah China yang menjadi pusat penyebaran COVID-19 mengesahkan tambahan 4,823 lagi kes hari ini, dan ia memberi gambaran bahawa peningkatan luar biasa kes yang dilaporkan berlaku sehari sebelumnya adalah situasi sekali sahaja.

Peningkatan kes di Hubei, hari ini direkodkan lebih rendah berbanding penambahan 14,840 kes lagi pada Khamis, selepas piawaian kualiti diturunkan untuk diagnosis rasmi.

Pengiraan baharu itu membabitkan kiraan harian pertama mengikut metodologi terkini dengan menetapkan penanda aras baharu untuk pengesanan wabak berkenaan.

Antara kes terbaru yang dilaporkan dari wilayah Hubei hari ini, 3,095 daripadanya disahkan menggunakan pengimbas CT iaitu kaedah pemeriksaan terbaru, manakala bakinya pula melalui proses diagnosis tradisional menggunakan ujian asid nukleik.

Berdasarkan laporan harian yang disiarkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Pusat Wilayah China, penambahan 116 kematian direkodkan di Hubei termasuk lapan daripadanya didiagnosis melalui kaedah baharu itu.

"Penambahan bilangan kes menunjukkan adalah sukar untuk mengawal virus itu buat masa ini, namun dari sudut positifnya pula, kita mempunyai gambaran lebih jelas mengenai situasi sebenar di Hubei, " kata bekas Timbalan Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Cina, Yang Gonghuan.

Pegawai tinggi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kes terbaru di China yang dilaporkan semalam adalah ketinggalan, sekaligus tidak menggambarkan peningkatan ketara dalam jangkitan itu.

"Kebanyakan kes berkait dengan tempoh masa berulang secara harian dan mingguan, manakala sesetengah kes pula tercetus daripada wabak itu sendiri, " kata Pengarah Eksekutif Program Kesihatan Kecemasan WHO, Michael Ryan, melalui taklimat media, semalam.

"Peningkatan yang dilihat dalam tempoh 24 jam terakhir ini sebahagian besarnya menjurus kepada bagaimana kes itu didiagnosis dan dilaporkan, " katanya.

Rangkuman pengimbas CT dalam diagnosis pesakit semalam merekodkan peningkatan sebanyak 45 peratus dalam jumlah kes di Hubei, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kenyataan bahawa epidemik itu yang berasal dari Wuhan sejak Disember lalu, terkawal. - BLOOMBERG

Berita Harian X