Jumaat, 14 Februari 2020 | 6:58pm
Petugas memakai pakaian khas ketika menjalankan pembersihan bagi membasmi penularan wabak COVID-19 di sebuah kompleks perniagaan di Beijing. - Foto Reuters

6 kakitangan kesihatan China maut, 1,716 dijangkiti COVID-19

BEIJING: Enam kakitangan kesihatan maut akibat wabak coronavirus baharu (COVID-19) di China dan lebih 1,700 dijangkiti, kata pegawai kesihatan hari ini, sekali gus mengetengahkan risiko dihadapi doktor dan jururawat susulan kekurangan peralatan perlindungan.

Jumlah itu diumumkan seminggu selepas tercetusnya kemarahan orang awam susulan kematian seorang doktor yang ditegur dan dikunci mulut oleh polis selepas membangkitkan kerisauan berhubung virus itu pada Disember lalu.

Naib Menteri di Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Zeng Yixin, pada sidang media memaklumkan 1,716 kakitangan kesihatan di negara itu disahkan dijangkiti wabak berkenaan setakat Selasa lalu.

Majoriti daripada mereka, iaitu seramai 1,102 orang dikesan dijangkiti COVID-19 di Wuhan, bandar yang menjadi pusat krisis itu, kata Yixin, dan baki 400 individu dijangkiti di beberapa kawasan lain dalam wilayah Hubei.

Pihak berkuasa China dikerahkan menghantar peralatan perlindungan ke hospital di Wuhan, di mana doktor dan jururawat dibanjiri jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Ramai doktor di Wuhan yang terpaksa merawat pesakit tanpa topeng muka yang betul atau pakaian perlindungan, terpaksa menggunakan peralatan sama berulang kali sedangkan mereka sepatutnya menukarnya secara kerap.

Seorang doktor di klinik komuniti di Wuhan memberitahu AFP, dia bersama 16 lagi rakannya menunjukkan simptom yang sama dengan virus baharu itu, termasuk jangkitan paru-paru dan batuk.

Risiko dihadapi kakitangan perubatan mula diketengahkan pada 7 Februari lalu, apabila Li Wenliang, doktor pemberi maklumat itu, meninggal dunia akibat penyakit berkenaan di Wuhan.

Kematiannya menyebabkan ramai pengguna media sosial China meluahkan simpati dan kemarahan, manakala 10 ahli akademik di Wuhan menyebarkan surat terbuka menggesa reformasi politik dan kebebasan bersuara. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X