Sabtu, 15 Februari 2020 | 10:36am
Seorang pekerja mensteril laluan di sebuah hospital yang merawat pesakit coronavirus di Beijing. - Foto AFP

Beijing arahkan kuarantin diri

BEIJING: Penduduk yang pulang daripada cuti lanjutan ke ibu kota China ini, semalam, diarahkan menjalani kuarantin diri selama 14 hari bagi membantu mengekang penularan wabak coronavirus COVID-19.

Akhbar Beijing Daily melaporkan, mereka yang gagal mematuhi arahan itu akan dihukum, namun tidak menjelaskan lanjut kaedah penguatkuasaannya mahupun sama ada sekatan berkenaan turut dikenakan terhadap bukan penduduk Beijing atau warga asing yang tiba dari luar negara.

“Mulai sekarang, semua yang pulang ke Beijing harus berada di rumah atau menjalani pemantauan kumpulan selama 14 hari selepas tiba.

“Mereka yang enggan menerima pemantauan berpusat atau di rumah dan langkah kawalan serta pencegahan lain, akan dipertanggungjawabkan bawah undang-undang,” lapor akhbar terbabit yang memetik notis daripada kumpulan kerja kawalan virus Beijing.

Selain Beijing, langkah lebih ketat untuk mengekang penularan COVID-19 turut dilaksanakan di kawasan lain.

CCTV China melaporkan, berdasarkan maklumat satu akaun media sosial rasmi polis tempatan, bandar Honghu di wilayah Hubei mengenakan perintah berkurung ‘waktu perang’ mulai semalam, dengan pengurusan ketat terhadap kemasukan ke kawasan perumahan dan perkampungan.

Pihak berkuasa Hubei melaporkan sebanyak 2,420 kes jangkitan baharu, semalam, dengan 139 lagi kematian.

Sebelum ini, cuti tahunan sempena Tahun Baharu Cina dilanjutkan selama 10 hari bagi membantu mengekang penularan virus berkenaan.

Jumlah kes jangkitan di tanah besar China kini melepasi 66,000 dengan lebih 1,500 kematian.

Pakar penyakit berjangkit di Pusat Pengajian Keselamatan Antarabangsa, University of Sydney, Adam Kamradt-Scott, berkata perangkaan terbabit menunjukkan tiada tanda wabak itu sedang menghampiri kemuncaknya.

Di Beijing dan hab perniagaan Shanghai, sebahagian besar jalan raya serta stesen pengangkutan bawah tanah masih kosong, manakala kebanyakan kedai dan restoran ditutup atau tiada orang.

Kakitangan kerajaan, Jin Yang, 28, masuk ke pejabatnya di Beijing dan mendapati keadaan tidak lagi seperti biasa.

Makan tengah hari di kantin adalah dilarang, digantikan dengan makanan kotak di meja kerja. Mesyuarat pula diadakan secara dalam talian dan bukan bersemuka.

Selain itu, pekerja mesti memakai topeng muka sepanjang hari dan melaporkan suhu mereka dua kali sehari berikutan demam adalah satu daripada simptom utama jangkitan COVID-19. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X