Sabtu, 15 Februari 2020 | 12:47pm
PETUGAS perubatan merawat di sebuah hospital di Wuhan. - Foto Reuters

COVID-19: Lebih 25,000 doktor dikerah ke Hubei

BEIJING: Lebih 25,000 doktor dari seluruh China tiba di wilayah Hubei untuk membantu usaha memerangi wabak COVID-19, kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Wang Hesheng.

“Ketika ini, 217 pasukan perubatan dengan seramai 25,633 doktor telah dihantar ke wilayah Hubei untuk memberikan bantuan perubatan.

“Jumlah itu tidak termasuk doktor tentera yang sudah dihantar oleh angkatan berkenaan,” katanya menurut laporan agensi berita Sputnik.

Bilangan pasukan perubatan terbesar membabitkan 181 pasukan dengan 20,374 doktor, dihantar ke Wuhan yang merupakan pusat epidemik itu.

COVID-19 mula dikesan di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei pada Disember lalu sebelum virus berkenaan merebak ke lebih 25 negara lain, setakat ini.

Januari lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global. – BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X