Ahad, 16 Februari 2020 | 5:01pm

Beberapa ubat untuk COVID-19 jalani ujian klinikal

BEIJING: Beberapa ubat antiviral yang digunakan dalam ujian klinikal terhadap penyakit coronavirus (COVID-19) menunjukkan keberkesanan klinikal yang baik.

Ujian penyelidik China yang menggunakan ubat-ubatan sedia ada seperti Chloroquine Phosphate, Favipiravir dan Remdesivir itu sudah melalui beberapa saringan pemeriksaan.

Pengarah Pusat Kebangsaan Pembangunan Bioteknologi China iaitu agensi di bawah Kementerian Sains dan Teknologi China, Zhang Xinmin, berkata beberapa ujian klinikal menunjukkan perkembangan positif.

“Eksperimen secara in-vitro menunjukkan Chloroquine Phosphate, ubat antimalaria yang sudah digunakan secara meluas sejak bertahun-tahun lalu, berkesan menghalang jangkitan COVID-19.

“Namun, ia masih pada peringkat percubaan di lebih 10 klinik di Beijing dan Guangdong, yang merawat lebih 100 pesakit,” katanya pada sidang media.

Tambah Zhang, percubaan klinikal itu juga akan juga dilancarkan Hunan iaitu wilayah tengah China dalam masa terdekat.

“Favipiravir, ubat influenza yang terdapat di pasaran luar negara, adalah antara yang diuji dalam percubaan klinikal di Shenzhen, wilayah Guangdong, yang diberikan kepada 70 pesakit.

“Manakala Remdesivir, yang dicipta untuk menentang Ebola oleh Gilead Sciences, sebuah syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), menunjukkan tindak balas antiviral yang agak baik terhadap COVID-19 pada peringkat selular,” katanya.

Hospital Persahabatan China-Jepun dan Institut Materia Medica di bawah Akademi Sains Perubatan Cina adalah agensi diberi kuasa untuk menjalankan percubaan klinikal bagi beberapa ubat di lebih 10 hospital di Wuhan, pusat penularan wabak terbabit.

Menurut Zhang, daripada ujian klinikal, kumpulan penyelidiknya akan mencadangkan ubat yang tepat bagi merawat COVID-19 berdasarkan keputusan akhir yang diperoleh.

Katanya, penyelidik mengimbas lebih 70,000 ubat atau sebatian melalui simulasi komputer dan ujian aktiviti enzim in vitro, sebelum memilih 5,000 ubat berpotensi berkesan.

“Kami melakukan kajian peringkat selular iaitu peringkat umum menentang jangkitan COVID-19. Dianggarkan 100 jenis ubat-ubatan sudah dipilih untuk eksperimen lanjutan, yang kini berada pada peringkat akhir pemilihan ujian klinikal.

“Paling penting, penyelidikan saintifik ini bertujuan meningkatkan kadar penyembuhan serta mengurangkan kematian menerusi rawatan klinikal yang berkesan,” katanya. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X