Rabu, 19 Februari 2020 | 12:12am
Perbicaraan Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah akan bermula 17 Mac depan. - Foto Reuters
Perbicaraan Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah akan bermula 17 Mac depan. - Foto Reuters

Perbicaraan Netanyahu bermula 17 Mac

BAITULMAQDIS: Perbicaraan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah akan bermula 17 Mac depan, kata Kementerian Kehakiman, hari ini.

Menurut kementerian itu, pertuduhan itu akan dibacakan oleh hakim Rivka Friedman-Feldman di hadapan Netanyahu di Jerusalem.

Pengumuman itu dibuat ketika kempen Perdana Menteri berusia 70 tahun itu menjelang pilihan raya pada 2 Mac depan, yang ketika bagi Israel dalam tempoh kurang setahun, selepas dua pilihan raya sebelum ini, berkesudahan dengan kebuntuan antara Netanyahu dan pencabarnya, Benny Gantz.

Gantz enggan menyertai kerajaan gabungan diketuai Netanyahu selepas pilihan raya September lalu, menegaskan Perdana Menteri Israel itu perlu menyelesaikan perbicaraannya sebelum kembali berkuasa.

Netanyahu didakwa tahun lalu atas kesalahan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit menyerahkan kertas pertuduhan kepada mahkamah daerah Baitulmaqdis pada 28 Januari selepas Netanyahu menarik balik permohonan mendapatkan kekebalan Parlimen yang difailkan awal bulan itu.

Netanyahu satu-satunya ketua kerajaan Israel yang didakwa ketika masih memegang jawatan.

Mengikut undang-undang Israel, seorang Perdana Menteri hanya perlu meletakkan jawatan selepas disabit atas sesuatu kesalahan dan selepas semua proses rayuan dilakukan.

Netanyahu menafikan pertuduhan itu dan menegaskan menjadi mangsa tindakan bermotifkan politik. - AFP

Berita Harian X