Jumaat, 21 Februari 2020 | 10:26pm
Pekerja perubatan memindahkan peralatan antara blok hospital di Beijing. Peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di Korea Selatan dan Iran selain di hospital serta penjara di China kembali mencetuskan kebimbangan. - Foto AFP
Pekerja perubatan memindahkan peralatan antara blok hospital di Beijing. Peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di Korea Selatan dan Iran selain di hospital serta penjara di China kembali mencetuskan kebimbangan. - Foto AFP

COVID-19 merebak dalam penjara China

BEIJING: Lebih 500 kes coronavirus baharu (COVID-19) dikesan dalam penjara di seluruh China, sekali gus mencetuskan kebimbangan wujud kelompok baru epidemik virus itu.

Hubei, wilayah yang menjadi punca penularan virus itu, mendedahkan 271 kes dilaporkan di penjara sehingga semalam, termasuk 220 yang tidak diketahui pihak berkuasa wilayah itu.

Akhbar Parti Komunis tempatan, Hubei Daily, melaporkan 230 kes dikesan di Penjara Wanita Wuhan, menyebabkan warden bertugas dipecat kerana gagal mencegah penularan virus.

Selain itu, 31 kes dilaporkan berlaku di daerah lain di Shayang manakala tujuh pengawal dan 200 banduan disahkan positif di penjara Rencheng di timur wilayah Shandong, kata Suruhanjaya Wilayah pada sidang media hari ini.

Ketua Jabatan Keadilan Shandong, Xie Weijun, berkata warden dipecat bersama dua pegawai pentadbiran penjara wilayah lain dan lima pegawai penjara.

Pengarah Pentadbiran Penjara Shandong, Wu Lei, berkata kes kes baharu menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan tidak berkesan.

Sementara itu, terdapat 34 kes dikesan di penjara Shilifeng di wilayah timur Zhejiang, yang mengakibatkan pengarah dan pegawai lain dibuang tugas.

Meskipun wujud kelompok baharu, kes-kes baru yang dilaporkan berkurangan pada minggu ini, membuktikan tindakan kuarantin dan langkah-langkah drastik lain berjaya membendung virus itu.

Pegawai kesihatan berkata, seramai 36 pesakit, pekerja perubatan dan ahli keluarga sudah dijangkiti virus di hospital Fuxing di Beijing dengan sebahagiannya ditutup sejak 31 Januari lalu.

Seorang wanita berusia yang menerima rawatan buah pinggang di Hospital Rakyat Peking University juga positif selepas dia dikunjungi dua ahli keluarga yang dijangkiti pada awal bulan ini, kata hospital itu.

Sementara itu, 12 wanita dan 10 bayi di wad obstetrik diarah meninggalkan Hospital Rakyat Peking University untuk keselamatan mereka sendiri, kata pihak berkuasa.

Etnik minoriti Uighur di China juga diberi amaran mengenai risiko COVID-19 yang tersebar di kem tahanan.

Virus itu merebak melalui titisan yang disebarkan dengan bersin atau batuk, bertambah berisiko bagi kumpulan besar manusia yang terkurung, berikutan tiada akses yang mencukupi untuk sabun dan air. - AFP

Berita Harian X