X
Ahad, 1 March 2020 | 2:31pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Wanita Afghanistan khuatir Taliban kembali berkuasa

KABUL: Ketika tentera Amerika Syarikat (AS) bersedia meninggalkan Afghanistan, sekali gus membuka pintu kemungkinan kembalinya Taliban, golongan wanita di negara dilanda peperangan itu khuatir kehilangan kebebasan.

Militan berada di puncak kuasa kira-kira lima tahun sehinggalah serangan AS pada 2001. Mereka memerintah Afghanistan secara kuku besi dan mengubah wanita menjadi ‘tawanan’ di bawah tafsiran undang-undang syariah yang sempit.

Kejatuhan Taliban mengubah hidup golongan wanita, khususnya di kawasan bandar seperti Kabul berbanding kawasan konservatif luar bandar Afghanistan.

Bagaimanapun, di seluruh negara itu, golongan wanita bimbang kebangkitan semula militan, terdesak untuk menyaksikan pengakhiran keganasan, tetapi khuatir perlu membayarnya dengan harga yang mahal.

Di bawah pemerintahan Taliban, wanita dilarang mendapatkan pendidikan atau bekerja, hak yang sangat dilindungi golongan wanita profesional Afghanistan hari ini.

Di bandar barat Herat, peniaga, Setara Akrimi, 32, memberitahu AFP: “Saya akan sangat gembira jika negara mencapai keamanan dan Taliban berhenti membunuh.”

“Namun jika Taliban kembali berkuasa, dengan mentaliti lama, ia amat membimbangkan,” kata ibu tunggal yang membesarkan tiga anak itu.

Kebimbangan itu turut disuarakan veterinar, Tahera Rezai, yang percaya ‘ketibaan Taliban akan memberi kesan kepada hak wanita untuk bekerja, bebas dan berdikari’.

“Tiada perubahan pada mentaliti mereka. Melihat sejarah mereka, saya hilang harapan. Saya percaya situasi akan semakin sukar untuk wanita seperti saya,” katanya.

Menjelang perjanjian dengan AS sebelum ini, militan itu membuat komitmen rawak untuk menghormati hak wanita selaras ‘nilai Islam’, yang mencetuskan amaran aktivis bahawa ikrar itu hanya sandiwara dan terbuka pada tafsiran yang luas.

Taliban mengawal kawasan yang luas di Afghanistan dan meskipun kini mereka membenarkan wanita ke sekolah rendah di beberapa tempat, beberapa laporan wanita disebat dan dibaling batu masih diterima, mencetus kebimbangan militan itu akan mengulang amalan lama apabila kembali memerintah. - AFP

Berita Harian X