Selasa, 3 March 2020 | 2:55pm

COVID-19: China fokus cegah kes import

BEIJING: Pihak berkuasa China hari ini meminta warganya di luar negara, untuk mempertimbang semula atau meminimumkan rancangan perjalanan mereka berikutan penularan epidemik coronavirus ke serata dunia yang sekali gus menggalakkan peningkatan kes import ke negara ini.

Pengembara dari negara yang terkesan teruk dengan wabak COVID-19 dan tiba di wilayah Guangdong, iaitu pusat kuasa ekonomi dan eksport di selatan, mesti menjalani kuarantin selama 14 hari, lapor media China, hari ini.

“Kami sedang berusaha menjarakkan diri daripada virus berkenaan, namun yang tidak dapat dipisahkan ialah hubungan darah daging antara warga China di luar negara dengan keluarga mereka di kampung halaman,” kata kerajaan county Qingtian di tenggara wilayah Zhejiang.

Tambahnya, mengembara ialah cara paling mudah untuk jangkitan silang berlaku, sekali gus menggambarkan duduk di rumah sebagai ‘bentuk perlindungan terbaik’.

“Demi keselamatan dan kesihatan keluarga anda, tolong tingkatkan langkah berjaga-jaga anda dengan berhati-hati dalam membuat keputusan mengenai rancangan perjalanan serta minimumkan mobiliti,” katanya.

Jumlah kes baharu harian di luar negara kini mengatasi bilangan di China, dengan Itali, Korea Selatan dan Iran menjadi titik tumpuan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, hari ini, tanah besar China merekodkan 125 kes baharu, semalam, menurun berbanding 202 pada hari sebelumnya dan merupakan kadar terendah sejak pihak berkuasa itu mula menerbitkan data seluruh negara, Januari lalu.

Sebanyak 11 jangkitan baharu dilaporkan di tanah besar China, semalam, tidak termasuk kes di wilayah Hubei di mana wabak COVID-19 tercetus.

Tujuh daripadanya adalah kes import membabitkan warga China yang mengembara dari Itali ke Qingtian.

Tujuh individu itu mempunyai kontak dengan satu kes didedahkan sebelum ini, dan kesemua lapan orang terbabit sama-sama bekerja di sebuah restoran di bandar Bergamo di Lombardy, Itali, menurut Kerajaan Qingtian dalam satu kenyataan melalui akaun WeChat.

Minggu lalu, enam daripada mereka menaiki sebuah kapal terbang dari Milan, Itali, ke Shanghai, dengan singgah di Moscow, Russia, manakala individu ketujuh pula berlepas dengan penerbangan melalui Jerman ke Shanghai. Mereka disahkan positif COVID-19, semalam, selepas tiba di Qingtian.

Menurut Kerajaan Qingtian, tiada dalam kalangan individu terbabit yang pernah ke wilayah Hubei mahupun ibu kotanya, Wuhan.

China menegaskan, ia akan memfokus untuk mencegah mereka yang dijangkiti COVID-19 daripada melintasi sempadan, ketika kes import memasuki negara ini pada minggu lalu.

Wuhan yang paling teruk terkesan dengan COVID-19, mencatat 111 kes baharu, semalam, menurun berbanding 193 pada hari sebelumnya dan merupakan sebahagian besar daripada 114 jangkitan baharu di wilayah Hubei.

Selain kes di Hubei, terdapat 11 jangkitan baharu dilaporkan di tanah besar China, semalam, menjadikan jumlah setakat ini mencecah 80,151.

Hingga semalam, COVID-19 sudah meragut 2,943 nyawa di tanah besar China, meningkat sebanyak 31 mangsa berbanding hari sebelumnya. - REUTERS

Berita Harian X