Khamis, 5 March 2020 | 12:52pm
Arab Saudi menggantung visa bagi jemaah umrah sebagai langkah mengekang penularan COVID-19. - Foto AFP
Arab Saudi menggantung visa bagi jemaah umrah sebagai langkah mengekang penularan COVID-19. - Foto AFP

Penggantungan mengerjakan ibadah umrah merangkumi rakyat Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi memperluaskan penggantungan mengerjakan ibadah umrah di Makkah dan Madinah kepada warga asing termasuk rakyatnya bagi menghalang penularan COVID-19.

Agensi berita SPA melaporkan, sumber Kementerian Dalam Negeri berkata arahan penggantungan itu dibuat jawatankuasa yang ditubuhkan khas bagi memantau virus berkenaan.

“Berdasarkan cadangan dikemukakan jawatankuasa itu, keputusan dibuat untuk menggantung ibadah umrah ke atas rakyat dan penduduk di negara ini,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, keputusan terbabit boleh dikaji semula dan arahan penggantungan boleh ditarik balik berdasarkan perkembangan semasa.

Seorang pakar ibadah haji Makkah dan Madinah, Dr Sami Angawi, berkata larangan yang dikuat kuasa tidak pernah berlaku sepanjang 1,400 sejarah Islam.

Beliau menyifatkan arahan larangan itu sebagai langkah bijak dan berani bagi melindungi kota suci umat Islam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Haji Arab Saudi, Abdulfattah Mashat, berkata penduduk tempatan masih boleh melawat Makkah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah namun tidak boleh melakukan umrah.

“Rakyat masih boleh melawat Makkah. Keputusan yang dibuat hanya membabitkan kegiatan umrah,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X