Sabtu, 7 March 2020 | 9:33am

Arab Saudi dilaporkan tahan 3 ahli keluarga diraja

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan tiga putera, termasuk adik beradik dan anak saudara kepada Raja Salman, atas tuduhan merancang rampasan kuasa, lapor media Amerika Syarikat (AS), semalam.

Laporan Wall Street Journal memetik sumber berkata, Putera Ahmed Abdulaziz al-Saud yang juga adik beradik Raja Salman, dan anak saudara kepada raja itu, Putera Mohammed Nayef, dituduh melakukan pengkhianatan serta dibawa keluar dari kediaman mereka oleh pengawal diraja berpakaian hitam pada awal pagi semalam.

Akhbar itu melaporkan, menurut Mahkamah Diraja Arab Saudi, kedua-dua putera terbabit yang sebelum ini pesaing berpotensi untuk takhta, didakwa ‘merancang rampasan kuasa bagi menjatuhkan Raja dan Putera Mahkota’ serta boleh dipenjarakan seumur hidup atau dikenakan hukuman mati.

New York Times turut melaporkan kejadian itu, sambil menambah bahawa adik kepada Putera Mohammed, Putera Nawaf Nayef, juga ditahan.

Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi belum memberikan maklum balas kepada permintaan untuk mendapatkan komen berhubung perkara berkenaan.

Penahanan itu dilapor menandakan tindakan keras terbaru oleh Putera Mahkota Mohammed Salman, selepas pemenjaraan ulama dan aktivis terkenal, selain putera serta individu elit perniagaan.

Putera Mahkota itu juga dilaporkan berdepan kecaman antarabangsa susulan kes pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, di dalam konsulat negara ini di Istanbul, Turki, pada Oktober 2018.

Putera Ahmed berumur 70-an, pulang ke Arab Saudi dari pangkalannya di London selepas skandal kematian Jamal itu tercetus. - AFP

Berita Harian X