Sabtu, 7 March 2020 | 5:44pm
Jumlah kes COVID-19 mengatasi 100,000 di seluruh dunia seperti dilaporkan data rasmi hari ini. - Foto AFP
Jumlah kes COVID-19 mengatasi 100,000 di seluruh dunia seperti dilaporkan data rasmi hari ini. - Foto AFP

COVID-19: Jumlah kes cecah 100,000

BEIJING: Jumlah kes COVID-19 mengatasi 100,000 di seluruh dunia seperti dilaporkan data rasmi hari ini, sekali gus menjejaskan eksport China apabila pelbagai negara menghentikan perkhidmatan dari republik itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan COVID-19 'sangat membimbangkan' apabila banyak negara melaporkan penularannya, membabitkan hampir 3,500 kes kematian dan menjangkiti lebih 100,000 orang di 92 negara dan wilayah.

Di China, lokasi tercetusnya penularan COVID-19 sejak Disember lalu, wabak itu mencetuskan kegusaran bagi pasaran ekonomi kedua terbesar dunia itu ekoran penutupan perniagaan dan gangguan rantaian bekalan global.

Impaknya dijelaskan dalam data rasmi hari ini, dengan eksport China menjunam 17.2 peratus bagi dua bulan pertama tahun ini.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggesa semua negara menjadikan kaedah untuk membendung penularan COVID-19 sebagai keutamaan.

Slovakia, Serbia, Vatican, Peru, Cameroon dan Togo masing-masing sudah melaporkan kes pertama manakala Belanda merekodkan kematian pertama, semalam.

Cameroon adalah lokasi pertama di Afrika yang melaporkan kes COVID-19. Di China, jumlah kes baharu dilaporkan seluruh negara hari ini, mencatatkan jumlah paling sedikit sepanjang minggu ini.

Kerajaan China membayangkan dalam tempoh terdekat akan memperluas kuarantin dilakukan di Hubei, iaitu lokasi penularan wabak, membabitkan 56 juta penduduk yang berkurung di rumah masing-masing sejak Januari lalu.

Tiada kes baharu dilaporkan di Hubei dan di luar Wuhan bagi dua hari berturut-turut. Bagaimanapun jumlah jangkitan meningkat mendadak pada hari ketiga dan menimbulkan kebimbangan mengenai kes yang dibawa dari luar negeri. Sehingga kini sebanyak 60 kes yang diimport.

Pelbagai pihak berkuasa tempatan mengarahkan sesiapa yang pernah mengunjungi negara atau lokasi dijangkiti COVID-19 perlu dikuarantin selama 14 hari. - AFP

Berita Harian X