Sabtu, 7 March 2020 | 6:54pm
KEKOSONGAN menyelubungi Masjidil Haram di mana kehadiran pada solat Jumaat semalam terjejas ekoran langkah untuk membendung COVID-19. - Foto AFP
KEKOSONGAN menyelubungi Masjidil Haram di mana kehadiran pada solat Jumaat semalam terjejas ekoran langkah untuk membendung COVID-19. - Foto AFP

Kehadiran solat Jumaat di Masjidil Haram terjejas

MAKKAH: Kekosongan menyelubungi Masjidil Haram di mana kehadiran pada solat Jumaat semalam terjejas ekoran langkah untuk membendung COVID-19.

Khatib dalam khutbahnya berharap agar penularan COVID-19 akan menemui penghujungnya selain menyokong pendirian Kerajaan Arab Saudi terhadap larangan mengerjakan umrah tahun ini.

"Ya Allah, kami mohon perlindungan-Mu daripada jangkitan wabak ini," kata Sheikh Abdullah Awad al-Juhani tanpa menamakan COVID-19 secara jelas.

"Tindakan kerajaan melarang untuk mengerjakan umrah untuk membendung penularan wabak, selari dengan syariat," katanya.

Ketika hanya ribuan menghadiri khutbah itu, solat Jumaat kebiasaannya akan disertai ratusan ribu umat Islam.

"Saya berasa aneh dan mengalami kesukaran ketika dalam perjalanan ke Masjidil Haram, terasa seperti ada kekurangan di Kaabah," kata seorang warga Mesir yang mendiami di Makkah selama enam tahun dan enggan dikenali.

"Ianya kosong (di sekitar Kaabah) dan sangat menakutkan," katanya yang bekerja sebagai seorang jurutera berusia 38 tahun.

Khamis lalu, Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, ‘Alauddin Mohd Nor mengesahkan kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan larangan mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya, selain menyekat ziarah ke Masjid Nabawi berkuat kuasa Rabu.

Ia susulan tiga kes baharu jangkitan COVID-19 dilapor berlaku di Arab Saudi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lima kes.

Bagaimanapun, jemaah masih bebas melakukan ziarah di lokasi tumpuan lain dan dibenarkan berada di Masjidil Haram untuk menunaikan solat dan beriktikaf.

Solat Jumaat dilakukan dalam masjid serta di Mataf, sebaliknya bukan di kawasan tawaf selain hampir separuh masjid ditutup, kata pihak berkuasa Masjidil Haram.

Kawasan sekitar Kaabah terus ditutup selari dengan larangan yang dianggap sebagai 'langkah berjaga-jaga' tetapi solat didirikan dalam Masjidil Haram akan tetap diteruskan, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Tambahan, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah ditutup sejam selepas solat Isyak bagi kerja pembersihan. Kedua-dua masjid berkenaan akan dibuka sejam sebelum solat Subuh.

Pegawai Arab Saudi menyalahkan Iran, iaitu kawasan lokaliti panas penularan COVID-19 yang meragut 124 nyawa kerana 'membenarkan' warga Arab Saudi masuk ke negara itu tanpa pasport, lapor SPA.

Kenyataan itu susulan pengumuman Kementerian Kesihatan bahawa warga Arab Saudi disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari republik Islamik melalui Bahrain tanpa mendedahkan lokasi asal pelepasan mereka.

Tindakan julung kali Arab Saudi mengeluarkan larangan mengerjakan umrah itu menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan umat Islam, sekali gus mewujudkan ketidakpastian bagi mengerjakan ibadah Haji yang dijadual Julai depan.

Hampir 2.5 juta pelancong dari seluruh negara mengunjungi Arab Saudi tahun lalu, untuk mengerjakan ibadah Haji yang menjadi salah satu rukun Islam.

Seorang jemaah dari Turki, Hussameddine Ali, yang tiba di Makkah minggu menzahirkan kekecewaan kerana tidak dibenarkan untuk menghampiri Kaabah.

"Saya mungkin akan kembali ke Turki kerana tiada apa-apa yang boleh dibuat sepanjang menginap di hotel," katanya. - AFP

Berita Harian X