X
Jumaat, 13 March 2020 | 5:11pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern (kiri), menemui umat Islam yang mahu menunaikan solat Jumaat di Christchurch. - Foto AFP
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern (kiri), menemui umat Islam yang mahu menunaikan solat Jumaat di Christchurch. - Foto AFP

Ancaman perkauman berterusan selepas serangan di masjid NZ

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, mengakui lebih banyak boleh dilakukan bagi menangani ancaman pelampau kulit putih, setahun selepas tragedi serangan masjid di negara itu.

Tragedi serangan oleh warga Australia yang mengisytiharkan dirinya sebagai pelampau kulit putih menyasarkan umat Islam, dilakukan ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch 15 Mac tahun lalu mengakibatkan 51 orang terbunuh.

Ardern berkata, masih ada segelintir penduduk di negara Pasifik Selatan itu yang berfahaman sama seperti penyerang terbabit.

“New Zealand tidak bebas daripada ancaman kumpulan yang mendakwa diri mereka pelampau kulit putih, mereka wujud di sini.

“Kita bertanggungjawab bukan saja untuk menentang kumpulan ini, sebaliknya punca kewujudannya juga perlu ditangani dan cara terbaik ialah dengan membantah perkauman, penindasan serta pembuli.

“Orang ramai akan rasa selamat sekiranya ada sokongan, jika mereka rasa masyarakat menjaga mereka dan tidak terdedah kepada diskriminasi, ejekan atau komen yang menyebabkan mereka bimbangkan keselamatan,” katanya.

Bercakap pada sidang media mengenai upacara peringatan tragedi terbabit Ahad ini, beliau berkata serangan pada 15 Mac tahun lalu itu ‘membawa perubahan ketara’ di New Zealand.

Awal bulan ini, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun kerana ancaman terhadap salah sebuah masjid yang diserang tahun lalu.

Ardern kemudian menyertai lebih 1,000 umat Islam dari serata New Zealand yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor dan Linwood.

Warga Australia yang didakwa melakukan serangan di dua masjid terbabit, Brenton Tarrant, akan menghadapi dua tuduhan keganasan, 51 tuduhan bunuh dan 40 cubaan membunuh pada 2 Jun ini. - AFP

Berita Harian X