X
Rabu, 25 March 2020 | 9:28am
Orang ramai menyerbu kedai untuk membeli barangan sejurus pengumuman pelaksanaan perintah berkurung sepenuhnya di seluruh India. - FOTO AFP
Orang ramai menyerbu kedai untuk membeli barangan sejurus pengumuman pelaksanaan perintah berkurung sepenuhnya di seluruh India. - FOTO AFP

COVID-19: 1.3 bilion rakyat India diarahkan perintah berkurung

NEW DELHI: Perdana Menteri, Narendra Modi, semalam mengumumkan bahawa 1.3 bilion rakyat negara ini akan menjalani perintah berkurung sepenuhnya selama 21 hari bagi memerangi penularan COVID-19, sekali gus mencetuskan pembelian panik.

“Bermula jam 12 tengah malam ini (tadi), perintah berkurung akan dilaksanakan di seluruh negara, perintah berkurung sepenuhnya.

“Bagi menyelamatkan India, untuk menyelamatkan setiap rakyat, anda, keluarga anda... setiap jalan, setiap kejiranan diletakkan bawah perintah berkurung,” kata Modi dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen negara kedua paling padat penduduk di dunia ini.

India mencatatkan bilangan kes COVID-19 yang rendah berbanding sebilangan negara lain, namun menurut kerajaan, berlaku peningkatan mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini sehingga mencecah jumlah 519 jangkitan, termasuk 10 kematian.

Sebilangan negeri dan wilayah telahpun melaksanakan langkah perintah berkurung masing-masing, termasuk menutup sempadan dan menyekat pergerakan dengan mengehadkannya kepada perkhidmatan penting saja, dalam usaha membendung peningkatan kes tidak mampu ditampung sistem kesihatan awam yang lemah.

Modi memberi amaran, rakyatnya harus mematuhi perintah berkurung itu jika mahu menghentikan penularan virus berkenaan.

“Ini adalah darurat... Kita akan terpaksa menanggung kos ekonomi atas langkah ini tetapi untuk menyelamatkan setiap ahli keluarga, ia adalah tanggungjawab semua orang - keutamaan terbesar.

“Jika 21 hari ini tidak diuruskan, negara dan keluarga anda akan patah balik 21 tahun... Saya tidak menyatakan ini sebagai Perdana Menteri anda. Saya menyatakan ini sebagai warganegara, ahli keluarga,” katanya.

Bawah perintah berkurung itu, sesiapa yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun dan sejumlah denda tidak khusus.

Sejurus perintah berkurung terbesar dunia itu diumumkan Modi, pemberita AFP menyaksikan orang ramai menyerbu kedai untuk membeli barangan runcit.

Di ibu kota India ini, sejumlah penduduk berpakaian pijama dilihat berlari dalam cuaca hujan lebat ke kedai berhampiran untuk membeli barang, manakala di Mumbai, orang ramai berbaris panjang di luar farmasi dan pasar raya.

Susulan ucapannya itu, Modi menciap: ‘TIADA KEPERLUAN LANGSUNG UNTUK PANIK.’

“Komoditi penting, ubat-ubatan dan lain-lain akan disediakan. Kerajaan pusat dan negeri akan bekerjasama rapat bagi memastikan perkara ini,” katanya.

Media tempatan melaporkan pemimpin negeri akan mengumumkan ketetapan masa untuk orang ramai membeli barangan penting.

Menurut perintah berkurung itu, semua perhimpunan agama, sosial, politik, sukan, hiburan, akademik dan kebudayaan adalah dilarang.

Semua perkhidmatan pengangkutan, termasuk udara, kereta api dan jalan raya, turut digantung.

Bagi majlis pengebumian pula, hanya maksimum 20 orang dibenarkan menghadirinya.

Menurut pihak berkuasa, petugas dalam sektor perkhidmatan penting seperti hospital, polis dan media bagaimanapun dikecualikan daripada perintah berkenaan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X