Rabu, 25 March 2020 | 3:23pm
Pasukan keselamatan Afghanistan di lokasi kejadian serangan bersenjata api di Kabul. - FOTO REUTERS
Pasukan keselamatan Afghanistan di lokasi kejadian serangan bersenjata api di Kabul. - FOTO REUTERS

Penyerang bersenjata api serbu kuil di Afghanistan

KABUL: Sekumpulan penyerang bersenjata api menyerbu sebuah kuil Sikh-Hindu di sini, hari ini, dan masih bertempur dengan pasukan keselamatan, menurut seorang pegawai kerajaan.

Serangan itu berlaku ketika Afghanistan sedang bergelut dengan pelbagai krisis, termasuk peningkatan pemberontakan, kebuntuan politik, pemotongan besar bantuan daripada Amerika Syarikat (AS), masalah proses perdamaian dan pertambahan kes COVID-19.

“Pada jam 7.45 pagi, sejumlah penyerang telah menyerbu sebuah kuil Sikh-Hindu.

“Orang ramai terperangkap di dalam bangunan itu dan (pasukan keselamatan) sedang berusaha menyelamatkan mereka,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian, kepada AFP.

Taliban menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu, manakala tiada kumpulan lain mengaku bertanggungjawab, setakat ini.

“Terdapat kira-kira 150 orang di dalam kuil itu. Ada sejumlah keluarga tinggal di situ dan mereka lazimnya berkumpul untuk sembahyang pada waktu pagi.

“Beberapa orang di dalam kuil itu sedang bersembunyi dan telefon mereka tutup. Saya amat bimbang,” Ahli Parlimen Sikh di Afghanistan, Anarkali Kaur Honaryar.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penganut Hindu dan Sikh tinggal di negara ini. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X