Rabu, 25 March 2020 | 6:23pm
Orang memakai topeng muka beratur di luar untuk membeli tiket di stesen keretapi di Macheng, di China, di wilayah tengah Hubei. -Foto
Orang memakai topeng muka beratur di luar untuk membeli tiket di stesen keretapi di Macheng, di China, di wilayah tengah Hubei. -Foto

COVID-19: Penduduk Hubei bergegas tinggalkan pusat penularan

MACHENG: Keadaan sesak berlaku di stesen kereta api dan bas di wilayah Hubei apabila orang ramai mengambil peluang keluar untuk berjumpa dengan keluarga selepas hampir dua bulan perintah berkurung di China, iaitu lokasi pusat penularan COVID-19.

Di stesen kereta api di bandar Macheng, ramai orang berbaris panjang dengan beg pakaian masing-masing bagi menunggu kereta api, kanak-kanak memakai penutup mulut dan muka, manakala pengawal berusaha mengawal keadaan di stesen itu.

Dalam pada itu, rakaman menerusi agensi Xinhua menyaksikan pekerja asing di Huanggang, antara kawasan paling teruk dilanda COVID-19 turut beratur panjang dengan beg pakaian masing-masing.

"Saya sudah berada di Hubei selama lebih dua bulan dan kini ingin pulang ke Wenzhou di wilayah Zhejiang," kata seorang pekerja.

Stesen kereta api dan lapangan terbang mula dibuka pada hari ini kecuali Wuhan, tetapi 30 lebuh raya menuju ke Wuhan dibuka pada pagi ini yang menyaksikan berlaku kesesakan lalu lintas.

Seorang guru, Guo Wei yang bekerja di Beijing mengambil peluang membeli tiket untuk pulang ke Macheng dan ini adalah kali pertama dia pulang sejak epidemik itu bermula.

Sementara itu, seorang polis trafik menyatakan bahawa dia melihat sekurang-kurangnya 2,000 orang pulang ke bandar dengan menggunakan jalan raya.

Orang ramai kini dibenarkan melakukan perjalanan keluar dan masuk Hubei sekiranya kod kesihatan mereka “hijau” iaitu yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Walaupun beberapa hari lalu penduduk dibenarkan untuk keluar dan kembali bekerja, namun sekolah masih ditutup.

Seorang guru yang ingin pulang ke sekolah di selatan wilayah Guangdong berkata, dia sudah berada di Xiaogan lebih dua bulan sambil menyatakan bahawa dia mengambil masa 14 jam untuk sampai ke destinasi di tuju.

"Hanya semalam kami mengetahui boleh meninggalkan Hubei dan kami sangat gembira dapat kembali bekerja," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X