Khamis, 26 March 2020 | 8:36pm
Foto dari udara menunjukkan jalan yang sepi di kawasan kejiranan pada hari pertama perintah berkurung di seluruh negara selama 21 hari sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus COVID-19 di New Delhi. - Foto AFP
Foto dari udara menunjukkan jalan yang sepi di kawasan kejiranan pada hari pertama perintah berkurung di seluruh negara selama 21 hari sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus COVID-19 di New Delhi. - Foto AFP

COVID-19: Jumlah kes India meningkat walaupun perintah berkurung ketat

NEW DELHI: Tiga lagi pesakit yang dijangkiti COVID-19 meninggal dunia malam tadi di India ketika kerajaannya berusaha memperbaiki perkhidmatan asas kepada 1.3 bilion penduduknya yang menjalani perintah berkurung bagi mengelakkan penyebaran virus berkenaan.

Jalan dan bandar di sekitar India kelihatan sunyi di mana semuanya ditutup apabila Perdana Menteri, Narendra Modi, menggesa penduduknya untuk tidak keluar rumah kecuali kecemasan atau membeli makanan dan keperluan.

Manakala di sekitar kejiranan kecil di Delhi dan Mumbai, kelihatan ramai orang memakai topeng muka dan sarung tangan, sementara itu kebanyakan trak tersadai di sempadan negeri serta pengangkutan awam tergendala.

Biarpun polis sudah menguatkuasakan perintah berkurung, namun Modi berkata perkhidmatan penting akan kekal seperti biasa.

Peniaga di kawasan Nizamuddin di Delhi, Ram Prakash, berkata bekalan beberapa barang keperluan bertambah baik walaupun air botol masih menjadi masalah.

Kementerian Kesihatan India mengesahkan jumlah jangkitan semakin meningkat kepada 649 dan 13 kematian, namun ia masih kekal sedikit berbanding negara China, Itali dan Sepanyol.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran negara kedua jumlah penduduk paling ramai di dunia itu boleh berdepan gelombang jangkitan jika tiada langkah diambil.

Pakar kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Mike Ryan, ketika persidangan di Geneva berkata bahawa India mempunyai peluang untuk mengembangkan ujian, pengawasan dan fasiliti kuarantin memandangkan terbukti mereka pernah berjaya menghapuskan penyakit polio.

"India berjaya menghapuskan polio sampai ke tahap terakhir biarpun terdapat halangan sehingga mereka berjaya mengatasinya.

"Jika India berjaya memecahkan masalah itu dan mengambil langkah diperlukan, mungkin ada cara keluar daripada wabak ini," katanya.

India sudah menjalankan ujian ke atas 24,254 orang sehingga hari ini, biarpun ia hanya sejumlah kecil daripada populasinya, menurut Majlis Penyelidikan Perubatan India dan hanya sebilangan kecil sektor swasta diberi kebenaran kerajaan untuk menjalankan ujian COVID-19. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X