Ahad, 29 March 2020 | 8:48pm
PERDANA Menteri India, Narendra Modi.
PERDANA Menteri India, Narendra Modi.

Narendra Modi mohon maaf pada penduduk India

MUMBAI : Perdana Menteri India, Narendra Modi memohon maaf daripada semua penduduk miskin negara itu hari ini, susulan kritikan berhubung pelaksanaan perintah berkurung selama 21 hari.

Modi pada Selasa lalu mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu bagi membendung penyebaran COVID-19, namun keputusan yang dibuat secara mendadak itu memberi implikasi buruk kepada ratusan ribu penduduk miskin, menyebabkan ramai di antara mereka kehilangan mata pencarian, selain terpaksa berjalan kaki beratus kilometer untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Saya mahu memohon maaf daripada semua rakyat. Penduduk miskin pasti akan membenci dan tertanya, perdana menteri jenis apakah yang menyebabkan kehidupan mereka menjadi lebih sukar, namun percayalah tindakan ini amat perlu dilaksanakan.

“Tindakan yang diambil setakat ini akan memberikan India kejayaan dalam memerangi virus COVID-19,” katanya dalam satu wawancara menerusi radio.

Kerajaan Modi pada Khamis lalu mengumumkan pelan rangsangan ekonomi berjumlah AS$22.6 bilion (RM96.69 bilion), bagi membekalkan pemindahan wang tunai secara langsung dan makanan kepada penduduk miskin India.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung perancangan jangka panjang.

Dalam satu rencana yang diterbitkan hari ini, Abhijit Banerjee dan Esther Duflo, dua daripada tiga pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada 2019 memberi amaran bahawa lebih banyak bantuan diperlukan untuk golongan miskin negara itu.

“Tanpa bantuan, krisis ini akan menjadi satu kemusnahan ekonomi dan orang ramai tidak mempunyai pilihan selain daripada melanggar arahan diberikan,” kata mereka menerusi tulisan di Indian Express.

Sokongan bagaimanapun masih meluas untuk sebarang pendekatan memerangi COVID-19 di India, sebuah negara dengan 1.3 bilion penduduk yang memiliki kelemahan besar dalam sistem kesihatan umum.

Pemimpin pembangkang, penganalisis dan beberapa kelompok rakyat bagaimanapun menyelar pelaksanaan perkara itu.

“Adalah amat memalukan apabila kita membenarkan rakyat dilayan sebegini rupa dan kerajaan langsung tidak memiliki pelan kontijensi dalam menangani malapetaka ini,” kata pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi menerusi satu ciapan di Twitter. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X