X
Selasa, 31 March 2020 | 10:17am
Pekerja hotel menyembur cecair nyah-jangkit kepada tetamu yang baru tiba untuk mencegah COVID-19 di Wuhan, bandar bagi wilayah Hubei. AFP
Pekerja hotel menyembur cecair nyah-jangkit kepada tetamu yang baru tiba untuk mencegah COVID-19 di Wuhan, bandar bagi wilayah Hubei. AFP

COVID-19: China hanya catat kes dari luar negara

BEIJING: China melaporkan peningkatan kes baharu COVID-19 pagi ini, disumbangkan pertambahan kecil kes jangkitan membabitkan pelancong yang tiba dari luar negara.

Trend peningkatan kes itu berlaku selepas empat hari negara itu merekodkan penurunan kes, selama empat hari berturut-turut.

Semalam negara tembok besar itu merekodkan 48 kes baharu.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, angka kes meningkat daripada 31 jangkitan baharu sehari sebelum itu.

Kes baru itu berpunca daripada jangkitan import sekali gus menjadikan negara itu mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 771 kes, semalam.

Tiada kes baharu membabitkan jangkitan domestik dilaporkan setakat ini.

Ketika kes jangkitan domestik kebanyakan menunjukkan trend penurunan, pihak berkuasa negara itu bimbang dengan kes yang dibawa pelancong dari luar negara sehingga memerlukan mereka ini disaring terlebih dahulu dan dikuarantin.

Negara itu juga mengambil langkah mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa, termasuk melarang kemasukan kebanyakan warga asing.

Daripada kes import baharu yang direkodkan semalam, sepuluh dari wilayah Mongolia terletak di utara China.

Ia membabitkan pelancong yang penerbangan mereka terpaksa dilencongkan dari Beijing ke Hohhot, beberapa hari lalu.

Sementara itu, Shanghai melaporkan 11 kes import baharu kebanyakan membabitkan warga China yang pulang dari luar negara. Beijing pula merekodkan tiga kes import baharu.

Di Wuhan iaitu pusat wabak COVID-19 dilaporkan tiada kes jangkitan terbaharu selama tujuh hari berturut-turut.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan jangkitan di China berjumlah 81,518 kes dan 3,305 kes kematian.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X