Jumaat, 17 April 2020 | 2:38pm
Institut Virologi Wuhan. - Foto AFP.
Institut Virologi Wuhan. - Foto AFP.

COVID-19: China semak semula angka kematian, catat kenaikan 50 peratus

WUHAN: China menaikkan angka kematian di pusat wabak COVID-19, Wuhan

sebanyak 50 peratus hari ini, yang menunjukkan titik awal pandemik global itu jauh lebih buruk daripada yang dilaporkan Beijing sebelum ini.

Semakan jumlah kematian itu dibuat ketika pemimpin dunia semakin lantang menyuarakan bahawa China tidak terbuka sepenuhnya mengenai kesan virus domestik yang membunuh lebih daripada 140,000 orang di seluruh dunia dan menyebabkan separuh penduduk dunia berkurung di rumah.

Ia turut diikuti langkah Presiden AS Donald Trump yang memerintahkan kelonggaran sekatan perintah berkurung secara berhati-hati dalam usaha untuk membuka semula ekonominya yang terhenti, ketika data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan ekonomi China merosot untuk kali pertama dalam beberapa dekad.

Pengumuman angka kematian Wuhan, di mana virus itu pertama kali dikesan pada akhir tahun lalu, menjadikan jumlah kematian di bandar itu meningkat kepada 3,869 orang.

Menurut pengumuman itu, kematian tambahan berkenaan membabitkan data kes yang ‘dilaporkan secara salah’ atau yang ‘hilang sepenuhnya’.

Tetapi semakan kematian itu akan meningkatkan naratif di kalangan pemimpin dunia dipimpin pentadbiran Trump mengenai ketidakjujuran China dalam menangani wabak berkenaan.

Malah, ia kini mendapat sokongan daripada dari dan Perancis, yang didorong dua media AS yang melaporkan kesangsian bahawa virus itu secara tidak sengaja terlepas keluar daripada makmal di Wuhan yang membuat kajian mengenai kelawar.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, yang mewakili Perdana Menteri Boris Johnson yang menjalani proses pemulihan daripada virus itu, berkata beliau ada ‘persoalan sukar’ kepada Beijing.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu Financial Times, adalah sesuatu yang ‘naif’ jika menganggap bahawa China menangani wabak itu dengan baik, dengan menambah: ‘Sudah jelas ada hal-hal yang tidak kita ketahui’.

Beijing dan Moscow bagaimanapun menangkis serangan itu, dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam "percubaan beberapa pihak untuk memburuk-burukkan China. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X