Rabu, 13 Mei 2020 | 11:45am

Arab Saudi laksana perintah berkurung 24 jam ketika cuti Aidilfitri

JEDDAH: Perintah berkurung selama 24 jam akan dilaksanakan pemerintah Arab Saudi sepanjang cuti lima hari, sempena perayaan Aidilfitri bermula 23 Mei ini, bagi memantau penularan pandemik COVID-19.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata, sehingga tempoh itu, semua aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa dan orang ramai dibenarkan bergerak bebas antara jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari, kecuali di Makkah yang masih berada di bawah perintah berkurung sepenuhnya.

Terdahulu, kementerian berkenaan melaksanakan perintah berkurung serta-merta selama 24 jam ke atas perbandaran Baish di wilayah Jazan.

Orang ramai di wilayah itu hanya dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing untuk membeli barangan penting antara jam 9 pagi dan 5 petang sahaja.

Arab Saudi pada Selasa merekodkan kadar pemulihan tertinggi sejak pandemik berkenaan bermula hampir dua bulan lalu.

Kementerian Kesihatan merekodkan 2,520 kes pulih, iaitu yang tertinggi setakat ini sejak pandemik itu bermula, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih kepada 15,257.

Jurucakap kementerian, Dr Mohammed Al Abd Al Aly mengulangi amaran untuk orang ramai, agar tidak menganjurkan sebarang perhimpunan.

Kementerian itu mengesahkan 1,911 jangkitan baharu Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan 42,925.

Terdapat 27,404 kes aktif ketika ini, dengan 147 daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Pada Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan kebenaran melakukan umrah berikutan kebimbangan mengenai pandemik COVID-19.

Pihak berkuasa tahun ini masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan ibadah haji, dijadualkan akhir Julai nanti, namun gesaan sudah dibuat untuk umat Islam agar menangguhkan sebarang persiapan.

Sejumlah 2.5 juta jemaah haji menunaikan ibadat berkenaan di Arab Saudi tahun lalu.- AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X