Isnin, 18 Mei 2020 | 3:29pm

COVID-19: Boleh tunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah - Mufti Besar Arab Saudi

JEDDAH: Mufti Besar Arab Saudi dan ketua Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al Asheikh, memutuskan solat sunat Aidilfitri boleh ditunaikan di rumah susulan keadaan luar biasa seperti pandemik COVID-19 ketika ini.

Solat sunat itu terdiri daripada dua rakaat dan tanpa khutbah.

Bercakap kepada Okaz/Saudi Gazette, Sheikh Abdul Aziz berkata, zakat fitrah pula boleh diagihkan melalui badan amal jika boleh dipercayai, dengan syarat ia harus dilakukan sebelum Aidilfitri.

Beliau sekali gus menggesa ibu bapa membawa kegembiraan dan keceriaan kepada anak serta keluarga masing-masing dengan berbelanja lebih untuk mereka.

Sementara itu, ahli Majlis Ulama Kanan dan Jawatankuasa Tetap Fatwa, Sheikh Abdul Salam Abdullah Al-Sulaiman, berkata solat sunat Aidilfitri boleh ditunaikan secara individu atau berjemaah.

Beliau turut memberikan contoh ketika sahabat Rasulullah SAW, Anas bin Malik RA, berada di rumahnya di Zawiya, beliau tidak menjumpai solat sunat Aidilfitri secara berjemaah, justeru menunaikan sembahyang bersama ahli keluarga dan pembantunya.

Katanya, solat sunat Aidilfitri boleh mula ditunaikan selepas terbit fajar sehingga tamat waktu solat sunat duha. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X