Jumaat, 22 Mei 2020 | 11:54am
Salah Khashonggi, anak lelaki kepada wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi. - Foto AFP
Salah Khashonggi, anak lelaki kepada wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi. - Foto AFP

Anak lelaki Khashoggi maafkan pembunuh

RIYADH: Anak lelaki kepada wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam memberitahu hari ini sudah memaafkan pembunuh bapa mereka.

"Kami anak-anak syahid Jamal Khashoggi mengumumkan memberi kemaafan dan mengampuni mereka yang membunuh ayah," kata anak kolumnis Washington Post itu, Salah Khashoggi di Twitter.

Khashoggi yang dianggap kritikal terhadap beberapa dasar yang dilaksanakan oleh keluarga diraja Arab Saudi dibunuh dengan anggota badannya dikerat dalam kejadian di bangunan konsulat, dekat Istanbul pada 2 Oktober 2018.

Kes berkenaan turut mencetuskan kemarahan banyak pihak di peringkat antarabangsa.

Operasi bagi menyiasat kes itu membabitkan 15 ejen yang dihantar dari Riyadh. Bagaimanapun, mayatnya sehingga kini tidak dijumpai.

Menurut pendakwa raya pada Disember, daripada 11 individu yang didakwa dalam kes itu, lima dijatuhkan hukuman mati, tiga lagi dipenjara selama 24 tahun, manakala suspek lain dibebaskan.

Salah sebelum ini berkata, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sistem kehakiman dan mengkritik pembangkang yang dikatakan ingin mengeksploitasi kes itu. –AFP

Berita Harian X