Jumaat, 22 Mei 2020 | 4:53pm
Presiden China Xi Jinping (kiri) dan Perdana Menteri Li Keqiang tiba untuk sesi pembukaan NPC semalam. FOTO AFP
Presiden China Xi Jinping (kiri) dan Perdana Menteri Li Keqiang tiba untuk sesi pembukaan NPC semalam. FOTO AFP

Peruntukan pertahanan China menurun

BEIJING: China akan menaikkan peruntukan pertahanan pada kadar yang lebih rendah iaitu 6.6 peratus bagi tahun ini, kerajaan mengumumkan dalam sesi pembukaan Kongres Kebangsaan Rakyat (NPC), hari ini.

Peruntukan sebanyak AS$178 bilion (RM776 bilion) itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan dalam bajet pertahanan, bahkan ia lebih rendah daripada peruntukan tahun lalu yang dinaikkan sebanyak 7.5 peratus.

Pengumuman itu dibuat dalam keadaan konflik China dan AS semakin tegang berikutan pandemik COVID-19, selain hubungan dinginnya dengan negara jiran termasuk India, Jepun dan Vietnam.

Untuk rekod, pada 2018, China mengumumkan peruntukan pertahanan terbesar dalam tiga tahun pada kadar 8.1 peratus iaitu sebanyak 1.1 trilion yuan.

Bajet bagi pertahanan dilaporkan semakin menurun selepas China dan AS terbabit dalam perang perdagangan yang sengit sehingga ia memberi tekanan kepada ekonomi domestik, malah ia diburukkan lagi dengan kesan pandemik COVID-19.

Sementara itu, pakar pemodenan ketenteraan di Macquarie University di Sydney, Adam Ni, berkata peruntukan bagi pertahanan negara China yang semakin menurun itu bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan.

"Disebabkan ekonomi China semakin perlahan ketika ini, maka bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila peruntukan bagi pertahanan juga turut menurun," katanya. - AFP

Berita Harian X