X
Ahad, 24 Mei 2020 | 4:34pm
Gambar tidak bertarikh dikeluarkan KCNA, hari ini, menunjukkan Kim Jong Un menghadiri mesyuarat tentera di Korea Utara. - FOTO AFP
Gambar tidak bertarikh dikeluarkan KCNA, hari ini, menunjukkan Kim Jong Un menghadiri mesyuarat tentera di Korea Utara. - FOTO AFP

Korea Utara bincang dasar baharu tingkatkan 'pencegahan perang nuklear' - Laporan media

SEOUL: Korea Utara membincangkan dasar baharu bagi meningkatkan 'pencegahan perang nuklear' pada satu mesyuarat tentera dipengerusikan pemimpin Kim Jong Un, lapor media negara itu, hari ini.

Mesyuarat itu adalah penampilan awam pertama Jong Un yang dilaporkan dalam tempoh lebih tiga minggu selepas media Amerika Syarikat (AS) menyatakan, kelmarin, bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump sudah berbincang untuk mengadakan ujian nuklear AS yang pertama dalam tempoh beberapa dekad.

"Perkara dibentangkan pada mesyuarat Suruhanjaya Tentera Pusat itu adalah 'dasar baharu bagi meningkatkan lagi pencegahan perang nuklear negara," kata agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, tanpa memberikan perincian lanjut.

Katanya, 'langkah penting' diambil 'bagi meningkatkan kemampuan serangan senjata api daripada artileri Tentera Rakyat Korea'.

Perbincangan juga tertumpu kepada 'meletakkan pasukan tentera strategik dalam operasi berjaga-jaga yang tinggi', sejajar dengan 'pembinaan dan pembangunan anggota tentera negara'.

Tarikh mesyuarat itu tidak dimaklumkan, namun satu hantaran berasingan KCNA daripada mesyuarat sama melaporkan arahan ketenteraan yang ditandatangani Jong Un, dikeluarkan pada 23 Mei lalu. - AFP

Berita Harian X