Ahad, 24 Mei 2020 | 6:01pm
Menteri Luar China, Wang Yi. - Foto AFP
Menteri Luar China, Wang Yi. - Foto AFP

AS-China di ambang perang dingin baharu

BEIJING: Tekanan berterusan Amerika Syarikat (AS) terhadap China dikhuatiri menyebabkan kedua-dua negara 'berada di ambang perang dingin baharu', ditambah pula dengan ketegangan berkaitan isu COVID-19 dan status Hong Kong.

Menteri Luar China, Wang Yi, berkata pihaknya melihat beberapa tekanan politik di AS menyebabkan hubungan kedua-dua negara itu semakin terancam.

"Konflik berpanjangan antara kedua-dua kuasa besar ini semakin melarat termasuk berkaitan perdagangan dunia, hak asasi dan isu lain, sejak bermulanya pandemik ini," katanya.

Wang bagaimanapun tidak menjelaskan 'tekanan' yang dimaksudkannya, namun menegaskan Presiden AS, Donald Trump, adalah individu pertama memulakan kemelut itu.

Ia berikutan kritikan mengenai tindakan awal China ketika menghadapi wabak COVID-19 yang menjangkiti 5,423,932 mangsa di seluruh dunia termasuk 344,337 kematian setakat hari ini.

Selain itu, cadangan China untuk memperkenalkan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong bagi memperketatkan kawalan ke atas bandar ditadbir secara separa autonomi itu turut menyemarakkan lagi kemarahan AS dan dunia.

Bagaimanapun, Wang membidas AS, dengan menuduh negara itu cuba 'menyerang dan memburuk-burukkan' China.

"Selain kemelut disebabkan virus ini, turut terdapat virus politik yang disebarkan oleh AS, yang menjadi peluang mereka untuk serang dan memburuk-burukkan China.

"Sesetengah ahli politik mengabaikan fakta asas dan mencipta pelbagai penipuan yang menyasarkan kepada China, selain merancang begitu banyak konspirasi," katanya. - AFP

Berita Harian X