Ahad, 24 Mei 2020 | 9:02pm
Penunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong berkumpul di Causeway Bay. - Foto AFP
Penunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong berkumpul di Causeway Bay. - Foto AFP

Ribuan sertai tunjuk perasaan di Hong Kong

HONG KONG: Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah ribuan penunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong yang berhimpun hari ini membantah penggubalan undang-undang keselamatan yang diusulkan China.

Pertembungan paling sengit dalam tempoh beberapa bulan itu berlaku di pusat kewangan di Hong Kong, tatkala Menteri Luar China, Wang Yi, bertegas undang-undang itu akan digubal dengan kadar segera.

Perundangan yang dirancang, dijangka bagi mengharamkan pengkhianatan, penindasan dan hasutan itu menyusul selepas Hong Kong bergolak akibat tunjuk perasaan besar-besaran yang kerap bertukar ganas, dengan China terus berkeras tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk bantahan.

Aktivis memberi amaran bahawa cadangan itu akan menamatkan kebebasan yang amat dihargai di kota itu, dengan ribuan berkumpul sambil melaungkan slogan di daerah Causeway Bay dan Wan Chai yang sibuk.

Beberapa penunjuk perasaan bertopeng turut membuat sekatan jalan untuk menghalang jentera polis.

Polis anti rusuhan dikerahkan selepas penunjuk tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa melarang perhimpunan tanpa kebenaran selain melanggar undang-undang berkaitan COVID-19 yang melarang perhimpunan awam melebihi lapan orang.

Berikutan penunjuk perasaan semakin ramai, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan semburan lada bagi menyuraikan mereka, disusuli tembakan meriam air dan kenderaan berperisai.

Sekurang-kurangnya 120 orang ditahan dalam usaha menyuraikan orang ramai di jalan raya, menyaksikan ketegangan yang paling teruk dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Sementara itu, seorang pegawai tertinggi di China mendakwa penguatkuasaan undang-undang tanah besar China tidak akan dilaksanakan di bandar itu tanpa persetujuan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, sistem perundangan China yang samar itu tidak diyakini mahupun dipercayai penduduk Hong Kong serta khuatir China akan melaksanakan undang-undang yang mahu digubal itu di bandar terbabit.

Badan perundangan China dijangka akan meluluskan deraf resolusi berkenaan Khamis ini, manakala kandungannya akan diperjelaskan di kemudian hari.

Pegawai memaklumkan undang-undang itu kemudiannya akan dilaksanakan di negara itu. - AFP

Berita Harian X