Isnin, 25 Mei 2020 | 8:04am
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wazir Akbar Khan, di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wazir Akbar Khan, di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP

Presiden Afghanistan bebaskan 2,000 tahanan Taliban sempena Aidilfitri

KABUL: Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, pada Ahad memulakan proses membebaskan 2,000 tahanan militan Taliban apabila kumpulan pemberontak itu mencadangkan gencatan senjata secara mengejut sempena Aidilfitri.

Ghani juga berkata, kerajaannya juga bersedia mengadakan rundingan damai dengan Taliban, selepas menerima tawaran mereka untuk gencatan senjata selama tiga hari berikutan sambutan Aidilfitri mulai Ahad.

Keputusan membebaskan tahanan penjara itu juga bertujuan memastikan proses rundingan damai berkenaan berjalan lancar, menurut jurucakap Ghani,

Sediq Sediqqi menerusi ciapan di Twitter.

Perjanjian Amerka Syarikat (AS) -Taliban yang ditandatangani pada Februari lalu, menetapkan bahawa pemerintah Afghanistan akan membebaskan hingga 5,000 tahanan Taliban sementara kumpulan pemberontak akan membebaskan sekitar 1,000 anggota pasukan keselamatan Afghanistan.

Pertukaran tahanan itu dilihat sebagai langkah membina keyakinan menjelang rundingan damai antara pemerintah dan Taliban yang sudah lama ditunggu-tunggu.

Sebelum perayaan Aidilfitri, kerajaan pimpinan Ghani sudah membebaskan 1,000 tahanan Taliban manakala kumpulan militan itu pula membebaskan 300 anggota keselamatan Afganistan.

Kumpulan itu juga berkata, mereka komited membebaskan tahanan, tetapi mengingatkan Kabul bahawa perjanjian yang sudah ditandatangani dengan AS di Doha, Qatar.

"Proses ini boleh diselesaikan bagi menangani pelbagai halangan dalam menuju kata sepakat menerusi rundingan berkenaan," kata jurucakap Taliban, Suhail Shaheen di Twitter.

Ghani berkata, delegasi kerajaan juga 'sedia untuk segera memulakan rundingan damai' dengan kumpulan militan itu. - AFP

Berita Harian X