Isnin, 25 Mei 2020 | 6:27pm
China menyasarkan misi ke Marikh Julai ini membabitkan pendaratan robot kawalan jauh. - Foto hiasan
China menyasarkan misi ke Marikh Julai ini membabitkan pendaratan robot kawalan jauh. - Foto hiasan

Program angkasa China sasar misi ke Marikh Julai ini

BEIJING: China menyasarkan misi ke Marikh Julai ini membabitkan pendaratan robot kawalan jauh di atas permukaan planet merah itu.

Negara itu melabur berbilion dolar dalam program angkasa lepas bagi bersaing dengan seteru utamanya, Amerika Syarikat (AS), dalam perlumbaan menjadi kuasa besar dunia.

Misi Marikh itu adalah antara beberapa projek angkasa lepas terbaru diusahakan China, termasuk misi membawa angkasawan negara itu ke bulan dan mempunyai stesen angkasa lepas sendiri menjelang 2022.

China sudah beberapa kali merancang pelancaran misi Marikh pada tahun ini, namun Perbadanan Sains Angkasa dan Teknologi China (CASC) mengesahkan ia hanya boleh dilaksanakan seawal Julai ini.

"Projek mega ini masih berjalan seperti yang dirancangkan dan kami menyasarkan bagi pelancarannya Julai ini, " kata CASC selaku kontraktor utama program angkasa lepas China, dalam satu kenyataan kelmarin.

Dikenali sebagai 'Tianwen', misi China itu membabitkan penyelidikan mengelilingi orbit Marikh dan pendaratan robotik jenis rover bagi menjelajah serta menganalisis permukaannya.

Ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk menempuh perjalanan kira-kira 55 juta kilometer (km) yang menjadi jarak antara Bumi dan Marikh, yang kerap berubah disebabkan orbit planet terbabit.

Sebelum ini, China melaksanakan misi serupa ke bulan pada Januari tahun lalu dengan mendaratkan robot kecil di sisi gelap permukaan bulan, sekali gus menjadi negara pertama berbuat demikian.

AS yang sudah menghantar empat kenderaan peneroka ke Marikh, dengan hasrat melancarkan kenderaan kelima pada musim panas ini, yang dijangka tiba pada Februari 2021.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula merancang melancarkan penyelidikan dunia Arab pertama ke Marikh pada 15 Julai ini dari kemudahan di Jepun. - AFP

Berita Harian X